SEORANG wartawan di Sudan yang ditahan kerana menyokong tunjuk perasaan anti kerajaan telah dibebaskan hari ini.
Faisal Mohamed Salih ditahan oleh ejen Perkhidmatan Keselamatan dan Perisikan Kebangsaan (NISS) pada Khamis lepas.
Salih yang menerima Anugerah Peter Mackler 2013 atas kewartawanan yang berani dan beretika, berkata ejen NISS menangkap beliau untuk disoal siasat berhubung pandangannya mengenai tunjuk perasaan yang meletus pada 19 Dismeber di Sudan.
“Saya beritahu mereka yang saya menyokong penunjuk perasaan kerana menunjuk perasaan dengan aman. Tetapi saya bukanlah terlibat dengan mana-mana kumpulan yang menganjur tunjuk perasaan itu,” katanya.
Wartawan itu berkata telah menyuarakan pandangan di beberapa rangkaian televisyen dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
“Mereka ingin tahu tentang pandangan saya dan selepas lama soal siasat, mereka lepaskan saya pada tengah malam,” kata Salih beberapa jam selepas dibebaskan.
Salih menerima Anugerah Peter Mackler - yang dinamakan sempena mendiang wartawan dan editor Agence France-Presse - kerana kritikannya terhadap kerajaan Sudan dan lantang mengenai penindasan hak asasi manusia.
Beliau merupakan salah seoranag daripada beberapa wartawan yang disiasat selepas melaporkan mengenai seorang aktivis belia yang dirogol dan sebelum ini ditahan selama beberapa hari kerana mengkritik rejim Presiden Omar al-Bashir.
Sudan kini berada di tangga 174 daripada 180 negara di dunia dalam Indeks Kebebasan Media. – AFP, 5 Januari, 2019.
Komen