2 pengedar dadah Rohingya ditemui mati di Bangladesh


Bangladesh melancarkan kempen anti dadah sejak Mei lepas yang menyaksikan sekurang-kurangnya 250 pengedar dadah mati. – Gambar EPA, 5 Januari, 2019.

POLIS Bangladesh menemui dua mayat pelarian Rohingya disyaki pengedar dadah yang ditembak di sebuah bandar yang terkenal kerana menjalankan urus niaga dadah dengan pengedar di Myanmar.

Ketua Polis Teknaf, Prodip Kumar Das berkata mayat ditemui terbaring dekat lebuh raya.

Turut ditemui ialah 10,000 pil methamphetamin.

“Kedua-dua pelarian ini… pengedar dadah terkenal di rantau ini. Kami syak mereka terbunuh dalam pergaduhan antara geng,” katanya.

Beliau juga berkata kes itu sedang disiasat tetapi tidak mengulas lanjut mengenai kedua-dua pelarian terbabit.

Tindakan keras tentera Myanmar di utara Rakhine menyebabkan 720,000 orang Islam Rohingya melarikan diri sejak Ogos 2017. Mereka menyertai 300,000 lagi pelarian sedia ada yang tinggal di Cox’s Bazar, Bangladesh.

Pihak berkuasa Bangladesh berkata pengedar-pengedar dadah tempatan menggunakan pelarian untuk membawa pil “yaba” yang diproses di makmal di Myanmar.

“Yaba” adalah dadah berasaskan methamphetamine yang juga digelar sebagai “ubat gila”. 

Mei lepas, Bangladesh melancarkan kempen anti dadah yang menyaksikan sekurang-kurangnya 250 pengedar dadah mati, termasuk 26 orang di bandar Teknaf.

Pakar membandingkan kempen ini dengan kempen anti dadah Presiden Filipina Rodrigo Duterte yang menurut polis telah membunuh hampir 5,000 penagih dan pengedar dadah. – AFP, 5 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen