SEORANG bekas diplomat Korea Utara yang belot ke Korea Selatan menggesa bekas rakan sejawatannya yang bersembunyi di Itali supaya datang ke Seoul.
Pemangku duta Korea Utara ke Rom, Jo Song Gil dan isterinya bersembunyi di Itali pada November dan mencari suaka politik, kata pihak berkuasa risikan Seoul.
Ini merupakan kes pembelotan berprofil tinggi oleh seorang diplomat Korea Utara sejak 2016, di mana duta Korea Utara ke London pada ketika itu, Thae Yong Ho berpaling tadah ke Seoul.
Menurut laporan media, Jo masih belum menghubungi agensi risikan Seoul sejak bersembunyi. Ini menandakan beliau mungkin sedang mencari suaka politik di Amerika Syarikat (AS).
Bagaimanapun, Thae yang berkata pernah bekerja dengan Jo di Kementerian Luar Pyongyang, menulis surat terbuka yang menggesa bekas rakan sejawatnya itu datang ke Korea Selatan dan sama-sama berusaha menyatukan kedua-dua negara Korea itu.
Sejak menetap di Seoul, Thae menjadi penceramah awam yang memberi ceramah mengenai Korea Utara yang miskin tetapi mempunyai senjata nuklear. Tidak ketinggalan ialah cara-cara bagaimana mahu merapatkan jurang perbezaan antara kedua-dua negara. – AFP, 5 Januari, 2019.
Komen