SETIAUSAHA Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres semalam bersejutu lantik seorang wakil PBB ke Somalia yang baharu selepas presiden negara itu enggan membatalkan keputusannya mengusir seorang pegawai kanan pertubuhan itu selepas menyatakan kebimbangan mengenai hak asasi kemanusiaan.
Guterres semalam menghubungi Presiden Mohamed Abdullahi Mohamed, untuk sekali lagi menggesanya menarik balik keputusan, kata diplomat.
Mohamed bagaimanapun bertegas untuk kekal dengan keputusan beliau dan berkata Wakil Khas Setiausaha Agung PBB bagi Somalia, Nicholas Haysom akan kekal sebagai persona non grata dan dilarang kembali ke negara itu, jelas diplomat itu lagi.
Jurucakap PBB, Farhan Haq berkata keputusan Somalia itu amat dikesali oleh Guterres, sambil menambah setiausaha agung badan dunia itu berhasrat melantik seorang wakil baharu.
Majlis Keselamatan PBB pada mesyuarat tertutup bersetuju dengan respons terhadap keputusan Somalia itu.
Namun, semasa mesyuarat tersebut, China meminta supaya diberi lebih masa bagi menimbang draf kenyataan yang dikemukakan Britain yang menyatakan kekesalan terhadap keputusan tersebut, kata diplomat.
Majlis akan menimbang semula responsnya terhadap keputusan Somalia hari ini.
Dalam draf kenyataan Britain itu, Majlis Keselamatan menyatakan sokongan terhadap misi PBB di Somalia dan menjangkakan negara itu akan memberi kerjasama penuh kepada PBB. – AFP, 5 Januari, 2019.
Komen