Ribut Pabuk badai selatan Thai, 30,000 penduduk dipindahkan


Ribut tropika Pabuk membadai selatan Thailand semalam, menyebabkan 30,000 penduduk terpaksa dipindahkan ke pusat perlindungan. – Gambar EPA, 5 Januari, 2019.

HAMPIR 30,000 penduduk di selatan Thailand terpaksa dipindahkan ke pusat perlindungan sementara susulan banjir dan bekalan elektrik terputus yang berpunca akibat badai ribut tropika Pabuk hari ini.

Selain itu pelancong yang terperangkap di kawasan yang jauh lebih ke arah utara menarik nafas lega apabila tidak terjejas akibat ribut itu dan mula merancang untuk pulang ke rumah masing-masing.

Ribut Pabuk membawa angin berkelajuan sehingga 75 kilometer sejam dan hujan lebat, membadai seluruh kawasan selatan negara itu sejak semalam, menyebabkan bekalan elektrik terputus dan banjir kilat.

Seorang nelayan disahkan terbunuh di wilayah Pattani semalam selepas bot yang dinaikinya dihempas ombak manakala seorang lagi krewnya masih hilang.

Ribut itu bagaimanapun tidak membadai kawasan pulau pelancongan utama seperti Koh Samui, Koh Phangan dan Koh Tao, lokasi yang menempatkan ramai pelancong.

Kumpulan pelancong bagaimanapun terkandas di pulau tersebut selama 24 jam selepas perkhidmatan feri dan lapangan terbang ditutup ekoran hujan lebat.

Bagaimanapun hujan yang semakin reda hari ini membolehkan mereka untuk keluar dari pulau itu, tetapi amaran bendera merah masih lagi dinaikkan untuk melarang aktiviti berenang di kawasan pantai.

Taraf ribut itu diturunkan awal pagi ini apabila kelajuan angin mulai berkurangan dan bergerak ke arah Laut Andaman. – AFP, 5 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen