Sembunyi kes pedofilia, paderi besar Katolik Perancis dibicarakan


Kardinal Philippe Barbarin dari Lyon merupakan antara bishop utama Katolik di Perancis dan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun dan denda 45,000 euro jika disabitkan kesalahan. – Gambar AFP, 5 Januari, 2019.

SEORANG paderi besar (archbishop) Katolik berprofil tinggi Perancis akan dibicarakan pada Isnin ini ekoran kegagalan melaporkan skandal pedofilia pada tahun 1980-90-an.

Kardinal Philippe Barbarin dari Lyon, akan berdepan perbicaraan itu bersama lima lagi pemimpin gereja susulan kesalahan menyembunyikan kes gangguan seksual oleh paderi terhadap kanak-kanak lelaki di kawasan jemaahnya.

Pemimpin gereja berusia 68 tahun itu, merupakan antara paderi utama Katolik di Perancis dan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun dan denda 45,000 euro jika disabitkan kesalahan.

Beliau bagaimanapun menafikan dakwaan itu.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pihak gereja Katolik Perancis berdepan dakwaan kes pedofilia dalam kalangan paderi apabila beberapa mangsa tampil membuat pengakuan berserta bukti.

Susulan kes itu, paderi di seluruh dunia termasuk Pope Francis berikrar untuk menghapuskan akvititi tidak bermoral itu yang menjejaskan reputasi pihak gereja.

Skandal pedofilia di Lyon mula didedahkan kepada umum pada 2015 selepas seorang kanak-kanak mendakwa paderi tempatan Bernard Preynat melakukan serangan seksual terhadapnya kira-kira 25 tahun lalu.

Kanak-kanak itu, Francois Devaux yang turut menubuhkan kumpulan mangsa jenayah tersebut, La Parole Liberee memfailkan kes terhadap Barbarin kerana cuba menyembunyikan skandal tersebut.

Selepas siasatan selama enam bulan dan sesi soal siasatan selama 10 jam bersama Barbarin, pasukan penyiasat menggugurkan kes itu pada 2016 dengan alasa tuduhan tersebut sudah lapuk dan sukar dibuktikan.

Namun kumpulan La Parole Liberee berjaya membuka semula siasatan kes itu yang menyaksikan Barbarin bersama beberapa lagi pemimpin gereja diarahkan untuk dibicara di mahkamah. – AFP, 5 Januari, 2019.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen