Maszlee terima kritikan dengan terbuka


Alfian Z.M. Tahir

Menteri Pendidikan Maszlee Malik bersikap terbuka kepada sebarang kritikan terutama mereka yang lebih berpengalaman. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 5 Januari, 2019.

MASZLEE Malik berkata beliau menerima pelbagai kritikan termasuk daripada bekas wartawan veteran A.Kadir Jasin yang pada November lepas mendedahkan Dr Mahathir Mohamad tidak berpuas hati dengan prestasinya sebagai menteri pendidikan.

Bercakap pagi ini selepas merasmikan pelancaran buku Pengerusi Hua Zong, Pheng Yin Huah “Tun M dan Saya”, Maszlee tidak mengambil serius cakap-cakap  mengenai rasa tidak puas hati Dr Mahathir mengenai prestasinya.

“Saya mengalu-alukan setiap kritikan dan nasihat daripada Dr Mahathir Mohamad dan juga daripada Kadir Jasin.”

“Mereka ini adalah golongan veteran dalam politik. Mereka tahu selok belok dan pantang larang. Jadi, saya bersedia belajar daripada orang lama,” katanya kepada pemberita.

November lalu, Kadir Jasin mendedahkan yang perdana menteri memberitahu Maszlee agar memperkukuhkan serta memberi tumpuan kepada institusi sekolah awam.

Kadir yang merupakan penasihat perhubungan untuk Jabatan Perdana Menteri berkata dalam catatan blognya Maszlee menerima teguran daripada pemimpin berusia 93 tahun itu tentang prestasinya.

Seorang lagi menteri yang juga menerima teguran daripada Dr Mahathir ialah P Waytha Moorthy.

Maszlee hadir hari ini pada pelancaran buku itu bagi menggantikan perdana menteri yang tidak dapat hadir.

Semasa ucapan perasmiannya, Maszlee menyifatkan Dr Mahathir sebagai seorang yang cintakan buku.

Beliau mengimbas pertemuan pertamanya dengan pemimpin veteran itu yang menasihatkannya membaca dan mengurangkan tidur.

“Dr Mahathir adalah seorang pembaca tegar, apabila saya bertemu dengannya tahun lepas, perkara pertama yang diberitahu kepada saya adalah jangan berhenti membaca. Di pejabatnya, terdapat banyak kertas kerja dan buku.”

“Saya bertanya kepadanya bagaimana anda berdepan semua tekanan ini, Tun M berkata beliau tidak tertekan kerana membaca dan memberitahu saya supaya tidak tidur. Jadi, diharapkan tuan-tuan dan puan-puan, membacalah, jangan berhenti membaca,” kata Maszlee. – 5 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen