Penyokong calon presiden Indonesia dekati pengundi di Malaysia


Presiden Indonesia Joko Widodo (kanan) dan Prabowo Subianto akan bertanding untuk jawatan presiden dalam pilihan raya yang dijadualkan pada 17 April tahun ini. – Gambar EPA, 5 Januari, 2019.

PENYOKONG calon presiden Indonesia, Prabowo Subianto menggiatkan kempen meraih undi daripada warga Indonesia yang bekerja di Malaysia, lapor Channel NewsAsia (CNA).

Dalam pilihan raya presiden Indonesia 2014, walaupun kalah kepada Presiden Joko Widodo, Prabowo berjaya memenangi undi seberang laut di Malaysia.

“Saya berharap Prabowo akan menang lagi pada 2019,” kata Darsil Abd Muis, ketua cabang Parti Gerindra di Malaysia yang meluangkan hujung minggunya bersama kira-kira 500 orang sukarelawan kempen.

“Saya menyokong Prabowo kerana beliau tegas, prihatin terhadap rakyat bawahan, toleran agama dan mempunyai wawasan untuk membangunkan Indonesia,” kata Darsil yang bekerja dan tinggal di Malaysia sejak 1988.

Malaysia menjadi kediaman terbesar bagi penduduk Indonesia di luar negara dengan 700,000 pekerja berdaftar secara rasmi. Tetapi secara tidak rasmi, jumlah mereka dianggarkan melebihi 2 juta.

Oleh itu, pekerja asing Indonesia di Malaysia merupakan kumpulan penting pengundi luar negara bagi kedua-dua kem.

Darsil berkata usaha untuk meningkatkan profil Prabowo bermula seawal April 2018, dengan pasukannya mendekati pekerja kilang, sektor pembinaan dan lain premis kerja dan kediaman mereka.

“Kami membantu mereka mendaftar sebagai pengundi. Kami sudah membeli lima pencetak untuk membantu usaha ini,” kata Darsil.

“Semua aktiviti dibiayai dengan wang saya sendiri,” katanya.

Sementara itu, penyandang jawatan presiden yang dikenali sebagai Jokowi, juga membentuk pasukan kempen di Malaysia pada September lalu.

“Kami membantu pekerja migran yang sakit, mangsa pemerdagangan manusia serta membantu mereka menghantar pulang mayat pekerja yang meninggal dunia di Malaysia ke kampung halaman masing-masing,” kata Tengku Adnan, penasihat Pasukan Kempen Luar Negara Jokowi, memberitahu CNA.

Tengku Adnan adalah ahli parti Demokrat Nasional, yang merupakan sebahagian daripada gabungan sembilan parti yang menyokong Jokowi dalam pemilihan semula.

Beliau berkata pasukan itu juga membantu pekerja mendapatkan pasport baru dan mengadakan program pendidikan percuma untuk kanak-kanak pekerja migran di Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

Pilihan Raya Umum Presiden (Pilpres) 2019 dijadualkan berlangsung pada 17 April.

Berdasarkan data suruhanjaya pilijam raya negara itu, sebanyak 196.5 juta pengundi layak untuk memilih pada Pilpres 2019. – 5 Januari, 2019.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen