PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Donald Trump hari ini menyuarakan keyakinan bahawa Washington dan Beijing akan mencapai perjanjian untuk mengakhir perang perdagangan yang menjejaskan pasaran kewangan dunia sejak berbulan lalu.
“Saya fikir kita akan mencapai perjanjian dengan China,” kata Trump di White House sambil menambah rundingan itu sudah berlangsung dengan peringkat tertinggi Beijing.
“Dengan keadaan ekonomi China yang perlahan, saya fikir mereka mahu mencapai satu perjanjian.”
Satu delegasi AS dijangka berkunjung ke Beijing untuk mengadakan rundingan pada Isnin ini tetapi Trump berkata beliau dan rakan sejawatnya dari China, Xi Jinping sudah berbincang mengenai isu itu.
“Kita sudah menjalankan rundingan penting dengan China. Presiden Jinping juga terlibat, begitu juga saya. Kita berurusan dengan peringkat tertinggi (China) dan perkembangannya sangat baik,” katanya.
Trump dan Jinping bersetuju untuk meredakan ketegangan selama tiga bulan selepas masing-masing mengenakan tarif import tinggi terhadap perdagangan dua hala yang bernilai ratusan bilion dolar.
Perang perdagangan itu membangkitkan kebimbangan terhadap pertumbuhan perlahan ekonomi global dan meresahkan para pelabur.
Trump mengulangi bahawa AS mendapat berbilion dolar dalam pelaksanaan tarif terhadap barangan dari China dan negara lain walaupun duti import itu meningkatkan kos perniagaan di AS dan pengguna.
Bank Simpanan Persekutuan New York dalam satu analisis berkata tarif import yang tinggi memberi kesan terhadap harga barangan domestik AS, sekali gus meningkatkan harga barangan sebanyak 0.3% lebih tinggi berbanding sebelum ini. – AFP, 5 Januari, 2019.
Komen