AS ragu cara Arab Saudi kendali siasatan kes bunuh Khashoggi


Jamal Khashoggi dibunuh dan mayatnya dikerat di luar konsulat Arab Saudi di Istanbul pada 2 Oktober lalu. – Gambar EPA, 5 Januari, 2019.

WASHINGTON masih meragui kredibiliti siasatan kes bunuh wartawan Jamal Khashoggi yang dikendalikan oleh Arab Saudi, kata seorang pegawai kanan Amerika Syarikat hari ini.

Pegawai yang enggan dikenali itu berkata Setiausaha Negara AS Mike Pompeo akan terus memberi tekanan kepada Riyadh berhubung siasatan kes itu apabila beliau mengunjungi negara Arab itu pada minggu depan.

“Beliau akan membangkitkan kes Khashoggi dan menekankan kepentingan kredibiliti serta tanggjungjawab penuh daripada pimpinan Arab Saudi memandangkan negara itu akan memulakan proses perundangan pada minggu ini,” kata sumber tersebut.

Dalam kes yang mengejutkan seluruh dunia dan mencetuskan ketegangan politik dengan Washington, Khashoggi dibunuh dan mayatnya dikerat di luar konsulat Arab Saudi di Istanbul pada 2 Oktober lalu.

Washington meminta siasatan telus dilaksanakan selepas bukti menunjukkan pembunuhan itu dilakukan oleh sepasukan askar elit Arab Saudi dan mempunyai kaitan dengan Putera Raja Mohammed bin Salman.

Pada 156 November lalu, pendakwa raya Riyadh mengumumkan pendakwaan terhadap 15 suspek dan pada Selasa lalu, mereka mempertimbangkan hukuman mati terhadap lima daripada suspek.

Namun pada masa sama, Putera Mohammed disahkan tidak terlibat dalam kejadian itu walaupun orang kanannya didakwa terbabit dalam pembunuhan tersebut.

Malah sumber perisikan AS mendakwa mereka mempunyai bukti yang menunjukkan Putera Mohammed sebagai dalang pembunuhan itu. – AFP, 5 Januari, 2019.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen