Wanita ketiga ceroboh kuil suci di Kerala


Golongan wanita bagi usia tertentu dilarang memasuki kuil Sabarimala di Kerala, India. – Gambar AFP, 5 Januari, 2019.

SEORANG lagi wanita dilapor meloloskan diri untuk memasuki salah sebuah kuil suci Hindu di selatan India ketika ketegangan berhubung kes sama masih belum reda.

Polis berkata kejadian itu berlaku pada malam Khamis, sehari selepas dua wanita memasuki kuil suci Sabarimala di Kerala yang melarang golongan wanita bagi usia tertentu masuk ke rumah ibadat itu.

Insiden awal pada Rabu mencetuskan tunjuk perasaan ganas apabila kumpulan penyokong kuil bertempur dengan kumpulan yang mendesak membenarkan wanita memasuki kuil itu.

Keganasan itu menyaksikan seramai 275 orang cedera termasuk anggota polis manakala seramai 1,718 orang ditahan dalam kejadian itu.

Menurut polis, wanita ketiga yang memasuki kuil itu merupakan rakyat Sri Lanka yang tinggal bersama keluarganya di Perancis.

“Wanita itu memasuki kuil itu pada malam Khamis. Dia berusia 74 tahun dan datang sebagai penziarah. Kami menyedari hal itu dan memantau perkembangan semasa,” kata polis.

Situasi di kuil tersebut masih tenang setakat semalam.

Mahkamah Agung akan memulakan proses pendengaran bantahan undang-undang terhadap keputusan mahkamah sebelum ini yang membenarkan golongan wanita memasuki kuil tersebut.

Pendengaran kes itu akan bermula pada 22 Januari ini. – AFP, 5 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen