JERMAN berdepan krisis kebocoran keselamatan siber apabila data peribadi milik ratusan ahli politik termasuk Canselor Jerman Angela Merkel disiarkan secara dalam talian, kata kerajaan negara itu semalam.
Maklumat itu yang melibatkan alamat rumah, nombor telefon, surat, invois dan salinan dokumen pengenalan, disiarkan buat kali pertama pada Disember lalu menerusi Twitter, tetapi penyebarannya semakin meluas sejak awal minggu ini.
Namun tidak dapat dipastikan sama ada ahli politik tersebut menjadi sasaran penggodam atau mangsa kebocoran maklumat dalam pihak dalaman memandangkan ada antara data itu bertarikh pada 2017.
Jurucakap Merkel, Martina Fietz berkata dianggarkan 1,000 orang yang terjejas akibat kebocoran itu merupakan ahli Parlimen Jerman dan ahli Parlimen Kesatuan Eropah.
“Kerajaan memandang serius kejadian ini,” katanya.
Fietz berkata siasatan awal mendapati tiada maklumat sensitif dari pejabat Merkel yang bocor.
Bagaimanapun beliau berkata beberapa maklumat dan dokumen yang disiarkan mungkin telah dipalsukan.
Sementara itu ahli Parlimen berhaluan kiri, Dietmar Bartsch menyifatkan insiden itu sebagai serangan terhadap demokrasi.
Selain ahli politik, kebocoran maklumat itu turut melibatkan data peribadi selebriti dan wartawan termasuk mesej daripada pasangan suami isteri yang menjadi sasaran.
Dalam pada itu, timbalan presiden Parti Kesatuan Demokratik Kristian, Patrick Sensburg mendakwa serangan itu dilakukan oleh kumpulan ekstremis berhaluan kanan. – AFP, 5 Januari, 2019.
Komen