LIMA remaja perempuan maut dan seorang lelaki cedera parah pada Jumaat selepas kebakaran berlaku di sebuah bilik tempat mereka bermain permainan melarikan diri (escape game), di bandar Poland utara Koszalin, kata para pegawai.
“Korban tragedi ini adalah remaja berusia 15 tahun, yang menyambut ulang tahun kelahiran,” kata Menteri Dalam Negeri Joachim Brudzinski kepada stesen televisyen TVN24.
Jurucakap bomba Tomasz Kubiak hanya dapat mengesahkan mereka yang maut adalah wanita, memberitahu AFP bahawa “seorang lelaki mengalami luka melecur yang teruk dibawa ke unit rawatan intensif.”
Pegawai akhbar polis tempatan, Monika Kosiec memberitahu pemberita lelaki yang cedera mungkin berusia 25 tahun.
Pegawai polis dan bomba berkata mereka belum tahu apa punca kebakaran di dalam escape room, yang dilaporkan pada awal petang.
Brudzinski mengarahkan bomba negeri menjalankan kawalan keselamatan kebakaran di setiap escape room di seluruh negara, yang terdapat lebih daripada 1,000.
Escape room popular di seluruh dunia dan menawarkan pengalaman aksi langsung di mana pemain dikunci di dalam bilik selama sejam bagi menyelesaikan beberapa petunjuk dan teka-teki untuk keluar dari situ. – AFP, 5 Januari, 2019.
Komen