BAYARAN setinggi AS$3.1 juta direkodkan bagi tuna gergasi pada Sabtu ketika pasar ikan baru di Tokyo yang menggantikan Tsukiji yang terkenal di dunia lewat tahun lalu, mengadakan lelongan Tahun Baru sebelum subuh.
Pembidaan berhenti pada 333.6 juta yen bagi 278 kilogram (612 paun) ikan - spesies terancam - yang ditangkap di pantai utara Jepun.
Usahawan sushi Kiyoshi Kimura membayar harga paling tinggi, yang merupakan dua kali ganda rekod sebelum ini iaitu sebanyak 155 juta yang dibayar pada 2013.
“Saya membeli tuna yang baik,” kata “Raja Tuna” itu selepas lelongan.
“Harga itu lebih tinggi daripada yang dijangka,” katanya.
Tsukiji - pasar ikan terbesar di dunia dan tarikan pelancongan popular di kawasan yang penuh dengan restoran dan kedai - berpindah pada Oktober ke Toyosu, sebuah bekas kilang gas di sebelah timur.
Tsukiji, yang dibuka pada 1935, terkenal dengan lelongan harian tuna, hasil tangkapan yang digunakan oleh semua orang daripada chef sushi terkemuka hinggalah kedai runcit biasa.
Pada lelongan pertama tahun baru, para pemborong dan hartawan sushi diketahui akan membayar harga yang tinggi untuk ikan terbesar dan terbaik. – AFP, 5 Januari, 2019.
Komen