AHLI Parlimen dan Adun Bebas dari Sabah yang keluar Umno beramai-ramai pada bulan lepas akan memutuskan langkah yang akan diambil seterusnya pada Mac, kata Adun Sulaman Hajiji Mohd Noor.
“Sudah sampai masanya untuk kita berehat. Buat masa ini kami masih bebas. Kami akan buat keputusan dalam masa sebulan atau dua,” beliau memberitahu The Malaysian Insight.
Hajiji mengetuai lima ahli Parlimen, sembilan Adun dn 21 daripada 25 ketua Bahagian Umno Sabah keluar parti berikutan hilang keyakinan terhadap kepimpinan parti.
Beliau sebelum ini memegang tugas ketua Perhubungan Umno Sabah.
Kira-kira 50% daripada 500,000 ahli Umno juga mengikut jejak mereka keluar parti.
Kumpulan yang diketuai Hajiji itu dikatakan akan membentuk cawangan Bersatu. Bagaimanapun, pemimpin peringkat pusat berkata parti yang dipimpin oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad itu mempunyai perjanjian dengan Warisan untuk tidak bertapak di Sabah.
Warisan dipimpin oleh Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal.
Memandangkan Bersatu tidak akan membuka cawangan di Sabah, pilihan yang tinggal buat ahli Parlimen dan Adun Bebas ini ialah sama ada menyertai menyertai parti dalam negeri atau membentuk sebuah parti baharu, seperti yang dicadangkan oleh seorang lagi bekas ahli Umno, Ahli Parlimen Kimanis Anifah Aman.
Selepas mengambil keputusan keluar parti, Anifah membayangkan akan membentuk sebuah parti baharu.
Selain Warisan, parti lain yang ada di Sabah ialah pakatan Gabungan Bersatu Sabah (GBS) yang menggantikan Barisan Nasional negeri.
GBS terdiri daripada Parti Bersatu Sabah, Parti Solidariti Tanah Airku dan beberapa bekas pemimpin Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu.
Umno Sabah kini dipimpin oleh Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin. – 4 Januari, 2019.
Komen