China tahan 13 rakyat Kanada selepas penahanan CFO Huawei 


Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Huawei Meng Wanzhou ditahan di Vancouver dan akan diekstradisi ke AS. Tiga belas rakyat Kanada ditahan di China susulan penahanan beliau. – Gambar fail EPA, 4 Januari, 2019.

TIGA belas rakyat Kanada ditahan di China susulan eksekutif kanan Huawei ditahan pada 1 Disember lepas, kata Ottawa semalam.

Lapan orang telah dibebaskan kemudian.

Jurucakap Hal Ehwal Global Kanada Guillaume Berube mengesahkan sambil menambah jumlah tersebut tidak termasuk rakyat Hong Kong.

Tiga belas orang yang ditahan itu termasuk bekas diplomat, Michael Kovrig dan konsultan, Michael Spavor pada 10 Disember lepas atas alasan mengancam keselamatan negara.

Turut ditahan ialah Sarah McIver yang dibebaskan kemudian dan kembali ke Kanada.

Secara keseluruhannya kira-kira 200 rakyat Kanada ditahan di China atas pelbagai dakwaan. Angka ini masih kekal beberapa tahun kebelakangan ini.

Secara bandingan, hampir 900 rakyat Kanada berdepan situasi sama di Amerika Syarikat (AS).

Beberapa pemerhati percaya penahanan Kovrig,yang bekerja dengan International Crisis Group, dan Spavor yang sering terlibat dalam rundingan berkenaan Korea Selatan, adalah sebagai tindak balas kepada penahanan Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Huawei Meng Wanzhou di Vancouver yang akan diekstradisi ke AS.

Washington menuduh Meng menipu dalam mengelak sekatan AS terhadap Iran. Meng kemudiannya dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu perbicaraan diekstradisi.

Menteri Luar Kanada Chrystia Freeland berulangkali mendesak Kovrig dan Spavor dibebaskan yang menurut Ottawa ditahan dengan sewenang-wenangnya. – AFP, 4 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen