India hantar pulang kumpulan kedua pelarian Rohingya 


Kerajaan India di bawah pentadbiran Narendra Modi menganggap Orang Rohingya sebagai "satu ancaman keselamatan." – Gambar EPA, 4 Januari, 2019

INDIA pada Khamis telah menghantar pulang kumpulan kedua pelarian Rohingya, yang dianiaya di Myanmar, ke kampung halaman mereka dari Assam yang terletak di timur laut India, lapor agensi berita rasmi Turki Anadolu.

Kumpulan itu, yang terdiri daripada lima Orang Rohingya, termasuk dua wanita, telah tinggal di sebuah kem tahanan bagi rakyat asing di Sonitpur, Assam sejak memasuki India secara haram pada 2014.

“Kelima-lima rakyat Myanmar ini telah ditahan pada 2014 kerana melanggar Akta Warganegara Asing,” kata Superintenden Polis Sonitpur, Prithipal Singh, kepada stesen penyiar tempatan ETV.

Oktober lepas, India telah menghantar tujuh Orang Rohingya beragama Islam yang ditahan pada 2012 ke Myanmar selepas Kementerian Kesatuan Dalam Negeri meminta kerajaan negeri mengenal pasti dan menghantar pulang pendatang tanpa izin.

Mahkamah Agung India telah membenarkan penghantaran pulang Orang Rohingya terbabit dan berkata mereka telah didapati oleh mahkamah yang kompeten sebagai “pendatang tanpa izin” dan diterima oleh negara asal sebagai warganegara.

Menurut laporan media, kira-kira 20 Orang Rohingya masih ditahan di pelbagai penjara di Assam.

Kerajaan Perdana Menteri India Narendra Modi pada 2017 telah memaklumkan Mahkamah Agung bahawa ia menganggap Orang Rohingya sebagai “satu ancaman keselamatan.”

Orang Rohingya, yang disifatkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai orang yang paling teraniaya di dunia, telah berdepan ketakutan akan diserang sejak berpuluh-puluh orang telah dibunuh dalam keganasan komunal pada 2012.

Sejak 25 Ogos 2017, kira-kira 750,000 pelarian, kebanyakannya kanak-kanak dan wanita, melarikan diri dari Myanmar apabila tentera Myanmar melancarkan tindakan keras ke atas komuniti minoriti Islam, menurut PBB. – Bernama, 4 Januari, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen