PENDUDUK Yahudi pada Khamis telah menyerang satu konvoi yang membawa Menteri Hal Ehwal Agama Palestin Yousef Adais berhampiran bandar Salfit di Tebing Barat, lapor agensi berita rasmi Turki memetik kenyataan sumber tempatan.
“Penduduk terbabit telah menyerang konvoi itu dengan batu; sebuah kereta rosak meskipun tiada kecederaan dilaporkan,” kata sumber itu.
Terdahulu, pada Khamis, kerajaan Palestin berkata satu konvoi yang membawa Perdana Menteri Palestin Rami Hamdallah telah berdepan serangan serupa daripada penduduk berhampiran Nablus minggu lepas.
“Konvoi PM telah diserang oleh sekumpulan penduduk Yahudi yang membaling batu berhampiran tempat pemeriksaan Zatara,” menurut satu kenyataan kerajaan.
Wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Timur Tengah, Nickolay Mladenov, telah mengutuk serangan ke atas konvoi Hamdallah.
“Ini adalah satu insiden yang membimbangkan. Ia benar-benar tidak dapat diterima dan pelaku hendaklah diheret ke muka pengadilan,” kata Mladenov.
Menurut angka yang dikeluarkan oleh Israel, serangan anti-Palestin oleh penduduk Yahudi yang menduduki Tebing Barat, termasuk Baitulmaqdis Timur, meningkat sebanyak 60 peratus tahun lepas berbanding pada 2017.
Lebih 650,000 penduduk Yahudi kini tinggal di 196 petempatan (yang dibina dengan kebenaran kerajaan Israel) dan lebih 200 “kota kara” penduduk (yang dibina tanpa kebenaran) di seluruh Tebing Barat, menurut angka yang dikeluarkan oleh Palestin. – Bernama, 4 Januari, 2019.
Komen