Turki buru 150 orang ada kaitan rampasan kuasa 2016


Mereka disyaki pengikut pendakwah Islam yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Fethullah Gulen yang didakwa mengarahkan cubaan rampasan kuasa terhadap Presiden Recep Tayyip Erdogan pada 15 Julai 2016. – Gambar EPA, 4 Januari, 2019.

POLIS Turki hari ini mengadakan serbuan di seluruh negara untuk menangkap 150 orang termasuk anggota tentera yang disyaki ada kaitan dengan kumpulan yang merancang rampasan kuasa pada 2016, lapor media tempatan.

Agensi berita Anadolu dan stesen televisyen NTV melaporkan pendakwa raya di Istanbul, Konya dan Ankara mengeluarkan waran tangkapan ke atas 137 orang sebagai sebahagian daripada siasatan berlainan terhadap pengikut pendakwah Islam yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Fethullah Gulen.

Turki mendakwa Gullen mengarahkan cubaan rampasan kuasa terhadap Presiden Recep Tayyip Erdogan pada 15 Julai 2016. Gullen menafikan dakwaan tersebut.

Serbuan dijalankan di lebih 30 wilayah termasuk Ankara di mana pendakwa raya mengeluarkan waran tangkapan ke atas 35 pegawai tidak bertauliah dalam tentera laut termasuk 10 lagi yang masih bertugas.

Beribu-ribu orang yang didakwa ada kaitan dengan Gullen sejak 2016 telah ditangkap, sementara lebih daripada 100,000 pekerja sektor awam dipecat atau digantung tugas.

Ankara berterusan menjalankan serbuan sejak beberapa minggu kebelakangan ini meskipun dikritik oleh aktivis hak asasi manusia dan sekutunya di Barat.

Pihak berkuasa Turki menegaskan operasi tersebut perlu dijalankan untuk menghapuskan “virus” yang disebabkan oleh gerakan Gullen. – AFP, 4 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen