DELEGASI kerajaan Amerika Syarikat (AS) akan ke China minggu depan untuk berunding secara bersemuka buat pertama kalinya sejak Presiden Donald Trump dan rakan sejawatannya, Presiden Xi Jinping bersetuju melaksanakan gencatan sementara dalam perang perdagangan, kata Beijing hari ini.
Pertikaian AS-China mengenai tarif ke atas barangan bernilai lebih daripada AS$300 bilion dalam perdagangan dua hala, mencetus konflik yang menjejaskan keuntungan dan menyebabkan pasaran saham jatuh menjunam.
Timbalan Wakil Perdagangan AS Jeffrey Gerrish akan mengetuai delegasi Washington dan membincangkan mengenai “pelaksanaan konsensus penting” yang diapai antara Trump dan Xi di luar sidang kemuncak G20 di Argentina tahun lepas, kata Kementerian Perdagangan China.
Perang dagangan antara kedua-dua negara bermula apabila Trump membuat aduan mengenai amalan perdagangan China yang disifatkan tidak adil, yang kemudiannya turut disuarakan oleh Kesatuan Eropah, Jepun dan negara lain.
Gencatan sementara bermula pada 1 Disember lepas di Buenos Aires selepas kedua-dua pemimpin tersebut bersetuju untuk menangguhkan tarif lanjutan selama 90 hari. – AFP, 4 Januari, 2019.
Komen