PAKAR Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai hak asasi manusia akan berkunjung ke Korea Selatan minggu depan bagi mengumpul maklumat berkaitan Korea Utara, lapor agensi berita Yonhap memetik kenyataan pejabat badan dunia itu.
Tomas Ojea Quintana, pelapor khas mengenai situasi hak asasi manusia di Korea Utara, akan bertemu pegawai kerajaan dan kumpulan sivik serta pembelot Korea Utara semasa kunjungan beliau ke Seoul mulai Isnin hingga Jumaat minggu depan.
Beliau sering berkunjung ke Korea Selatan dan membuat laporan setiap tahun kepada majlis PBB mengenai hak asasi manusia.
Perjalanan minggu depan adalah kunjungan beliau yang kelima ke Korea Selatan sejak dilantik ke jawatan itu pada Mac 2016.
Kali terakhir beliau mengunjungi Seoul ialah pada Julai 2018.
Kenyataan itu menyebut Korea Utara tidak membenarkan permohonan berulang kali Quintana untuk melawat negara tersebut bagi melihat situasi kemanusiaan yang dihadapi oleh penduduk Korea Utara.
Quintana dijangka mengadakan sidang akhbar pada Jumaat, iaitu hari terakhir kunjungan beliau ke Korea Selatan. – Bernama, 4 Januari, 2019.
Beliau ditugaskan untuk melaporkan penemuan dan syor kepada majlis hak asasi manusia pada Mac.
Komen