Bukan sabotaj, ada yang tak setuju saya jadi PM, kata Anwar


Alfian Z.M. Tahir

Anwar Ibrahim menafikan memberitahu akhbar Financial Times ada pihak yang mahu mengagalkan rancangan beliau menggantikan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Januari, 2019.

PRESIDEN PKR Anwar Ibrahim menepis laporan mendakwa beliau mengaku ada sabotaj dalam Pakatan Harapan (PH) yang mahu menghalang beliau jadi perdana menteri.

Bercakap kepada media selepas mesyuarat Majlis Presiden PH tengah hari tadi, Anwar yang juga ahli Parlimen Port Dickson menafikan memberitahu akhbar Financial Times ada pihak yang mahu mengagalkan rancangan beliau menggantikan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

“Saya tak cakap macam itu (sabotaj) tetapi beberapa unsur yang tidak bersetuju.

“Tiada isu berhubung perkara ini,” kata Anwar yang duduk di sebelah Dr Mahathir.

Bercakap kepada Financial Times pada Rabu, presiden PKR itu berkata ada pihak mahu mensabotaj perancangan antara beliau dan Dr Mahathir.

“Ada pihak dengan alasan sendiri ingin mensabotajkan perancangan ini.

“Saya tidak menafikan, beberapa orang dalam gabungan pemerintah mempunyai agenda yang berbeza,” kata ahli Parlimen Port Dickson dalam laporan itu.

Ini kali pertama Anwar secara terus-terang mengakui konspirasi terhadapnya apabila para penyokong setianya menimbulkan isu berkenaan semasa pemilihan PKR.

Semalam, kumpulan veteran yang dikenali kerana kesetiaan kepada Anwar, Otai Reformasi, mendakwa terdapat individu dalam PKR yang ingin menghalang Anwar daripada menjadi perdana menteri dalam tempoh dua tahun.

“Otai Reformasi akan menentang sesiapa saja yang cuba menggagalkan Anwar daripada menjadi perdana menteri sepertimana dipersetujui oleh Majlis Presiden PH,” kata Dr Idris.

Beliau tidak menyebut secara spesifik individu dimaksudkan tetapi menyifatkan langkah sedemikian jelas daripada beberapa siaran Facebook, termasuk kenyataan terbaru daripada “seorang menteri”.

Isu pengambilalihan pimpinan tertinggi menjadi perbincangan utama sejak pasukan Rafizi Ramli berkempen menentang Mohamed Azmin Ali semasa pemilihan PKR dengan mengatakan mereka tidak berminat melihat Anwar menjadi perdana menteri.

Awal minggu ini, Setiausaha Agung PH Saifuddin Abdullah berkata tiada perjanjian formal bagi Dr Mahathir menyerahkan jawatannya kepada Anwar dalam tempoh dua tahun seperti yang dipercayai sebelumnya.

Tetapi Dr Mahathir berulang kali mengatakan beliau akan menepati janji untuk menyerahkannya, dan Anwar berkata beliau tidak mempunyai alasan untuk tidak mempercayainya.

“Beliau pernah melakukannya sekali [menolak pengganti]; akankah beliau melakukannya lagi? Tetapi saya fikir keadaan juga sudah berubah,” kata Anwar yang dipetik dalam wawancara FT.

Anwar juga tidak menamakan mereka yang dipercayai sebagai sebahagian daripada konspirasi dikatakan itu.

Minggu lalu Anwar dan Azmin berbalah secara terbuka melalui kenyataan dan media sosial selepas keputusan Anwar menamakan orang yang menyebelahinya dalam barisan pimpinan pusat PKR walaupun kalah pemilihan parti.  – 4 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen