Dr Mahathir tidak tahu khabar angin Agong lepas takhta


Mohd Farhan Darwis Alfian Z.M. Tahir

PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak menerima apa-apa maklumat rasmi berhubung khabar angin Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V melepaskan takhta.

Katanya, terpulang kepada Majlis Raja-raja untuk menentukan kedudukan Seri Paduka.

“Seperti kamu juga, saya hanya dengar khabar angin.

“Saya tidak terima apa-apa surat rasmi jadi saya tidak akan bercakap mengenai khabar angin,” kata Dr Mahathir kepada pemberita, selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) di ibu negara, hari ini.

“Terpulang kepada Majlis Raja-raja tentukan pengganti,” katanya, ketika ditanya sama ada Agong belum kembali bertugas.

Media melaporkan mesyuarat tergempar berlangsung pada Rabu selepas Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menamatkan tugas pemangku Agong kerana Sultan Muhammad V bercuti.

Sultan Muhammad V bercuti selama dua bulan sehingga 31 Disember atas alasan rawatan kesihatan.

Sepanjang tempoh itu, terdapat laporan media asing mendakwa baginda mengahwini bekas ratu cantik Rusia. Laporan itu tidak disahkan atau dinafikan Istana Negara.

Kerajaan negeri Kelantan juga semalam meminta Pejabat Peguam Negara mengambil tindakan segera bagi menghentikan pengedaran berita palsu terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohd Amar Nik Abdullah berkata peguam negara perlu mengambil berat perkara itu kerana ia bukan sahaja melibatkan Sultan Kelantan tetapi Institusi Raja-Raja.

“Adalah menjadi tanggungjawab peguam negara untuk memastikan maklumat yang tidak betul tidak beredar di kalangan rakyat.

“Kita bercakap tentang institusi, Yang di-Pertuan Agong adalah sebuah institusi, Sultan adalah sebuah institusi,” katanya. – 4 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen