Isteri militan Perancis didakwa di Paris


Peter Cherif dikatakan rapat dengan adik-beradik yang melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap staf majalah satira Perancis, Charlie Hebdo pada 2015. – Gambar AFP, 4 Januari, 2019.

ISTERI kepada militan paling ganas di Perancis, Peter Cherif didakwa dan ditahan semalam, kata pendakwa raya Paris, beberapa hari selepas suaminya kembali ke penjara selepas tujuh tahun melarikan diri.

Soulef A, yang ditahan bersama Cherif dan dua anak mereka di Djibouti pada pertengahan Disember, didakwa atas pertuduhan bersubahat dengan pengganas dan membiayai perbelanjaan pengganas dan perbicaraan ditetapkan pada 7 Januari.

Cherif, 36, yang kembali ke Perancis pada penghujung Disember dan ditahan, dianggap sebagai sumber berpotensi terhadap maklumat penting oleh agensi risikan barat.

Pihak berkuasa Perancis sudah lama mencarinya sejak hilang pada 2011 dan pada hari terakhir perbicaraannya di Paris kerana berjuang di Iraq bersama Al-Qaeda pada 2004.

Beliau hadir di hadapan hakim Perancis pada 27 Disember dan dikenakan pertuduhan baharu “konspirasi pengganas” sebelum dihantar semula ke penjara untuk menjalani hukuman penjara lima tahun daripada perbicaraan asalnya.

Beliau rapat dengan adik-beradik yang melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap staf majalah satira Perancis, Charlie Hebdo pada 2015.

Cherif, juga dikenali sebagai Abou Hamza, diletakkan dalam senarai hitam pengganas asing di AS pada 2015.

Penyiasat membuka siasatan baharu pada 2017 berkenaan aktivitinya di Yaman di mana beliau menyertai pemimpin kanan cawangan tempatan Al-Qaeda di semenanjung Arab (AQAP).

AS menganggap AQAP sebagai kumpulan militan paling berbahaya dengan serangan dron AS di situ dipertingkatkan sejak Presiden Donald Trump mula berkhidmat.

Soulef A ditahan pada Ahad ketika tiba di Perancis. – AFP, 4 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen