Mexico desak AS siasat insiden keganasan terhadap pendatang 1 Januari lalu


Kira-kira 1,500 pendatang dari Honduras yang menaiki caravan pada masa ini berteduh di tempat perlindungan yang dibina di Tijuana, Mexico. – Gambar AFP, 4 Januari, 2019.

MEXICO mendesak Amerika Syarikat (AS) menyiasat tindakan kekerasan yang dilakukan agen peronda di sempadan terhadap pendatang asing dari Amerika Tengah yang menaiki caravan dan cuba masuk ke sempadan AS-Mexico pada Tahun Baharu.

“Kementerian Luar menghantar wakil diplomatik hari ini ke Kedutaan AS berkenaan insiden pada 1 Januari itu di zon sempadan. Kementerian meminta siasatan dilakukan terhadap apa berlaku pada hari itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Mexico juga mengulangi gesaannya untuk siasatan dilakukan terhadap kejadian serupa pada 25 November, di mana kira-kira 1,000 pendatang dari caravan itu cuba merempuh masuk ke AS dan ditolak oleh agen peronda sempadan.

Dalam kedua-dua insiden, Peronda Sempadan AS melepaskan gas pemedih mata untuk menghalang pendatang menyeberangi pagar sempadan antara bandar Tijuana di Mexico dan San Diego, California. Mereka juga menembak peluru getah ketika insiden pada November.

Kira-kira 100 pendatang asing terbabit dalam cubaan menyeberangi sempadan itu pada Tahun Baharu.

Kebanyakannya dipaksa patah balik dengan gas pemedih mata. Seramai 25 orang ditahan, kata Peronda Sempadan AS.

Mexico kesal dengan tindakan keganasan di sepanjang sempadan dan mengulangi komitmennya untuk melindungi hak asasi manusia dan keselamatan semua pendatang, katanya.

Pendatang itu adalah sebahagian daripada caravan membawa ribuan orang yang melarikan diri dari Honduras pada Oktober dan mengambil masa berbulan-bulan menyeberangi Mexico untuk tiba di sempadan AS.

Caravan itu mencetuskan kemarahan Presiden Donald Trump, yang berkata ia turut disertai penjenayah berbahaya dan sering memetiknya sebagai bukti betapa perlunya dinding sempadan dibina seperti yang dicadangkannya.

Ia membabitkan kira-kira 7,000 pendatang, tetapi secara beransur jumlahnya berkurangan apabila ada yang menyeberangi sempadan, berpindah di kawasan lain di Mexico atau kembali ke negara mereka. Kira-kira 1,500 pendatang pada masa ini berteduh di tempat perlindungan yang dibina untuk caravan itu di Tijuana. – AFP, 4 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen