SPRM beri Lim Guan Eng 48 jam untuk mohon maaf


Muzliza Mustafa

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng didakwa mengatakan penahanan exco negeri Phee Boon Poh 'haram' kepada media. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Ogos, 2017.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini memberi tempoh selama 48 jam kepada Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng untuk memohon maaf atas kenyataannya yang didakwa memfitnah SPRM berkenaan penahanan exco negeri Phee Boon Poh atau berdepan tindakan undang-undang.

Menurut SPRM kenyataan Guan Eng kepada media itu adalah menyalahi undang-undang serta berniat jahat.

Kata dua itu diberikan SPRM berdasarkan berita bertajuk “Sg Lembu illegal factory: Guan Eng claims ignorance over DoE’s letter to MPSP and Norlela” yang diterbitkan oleh New Straits Times hari ini.

Dalam laporan berkenaan, Guan Eng menyatakan penahanan Phee adalah haram.

“Selepas mendengar audio dan menonton video sidang media pada 24 Ogos di Komtar, Pulau Pinang, SPRM dapati beliau dengan jelas menggunakan perkataan “haram” oleh SPRM apabila menjawab soalan wartawan berhubung isu kilang haram di Sungai Lembu,” kata SPRM dalam satu kenyataan.

SPRM berkata ia mengambil serius mengenai kenyataan Guan Eng itu dan berpendapat ianya fitnah dengan niat untuk mencemarkan reputasi dan nama baik SPRM.

Ia berkata Hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang Abdul Wahab Mohamed tidak pernah mengatakan yang penahanan Phee itu sebagai “haram”.

“Lim Guan Eng digesa untuk membuat permohonan maaf secara terbuka kepada SPRM dalam tempoh 48 jam dari masa kenyataan itu dibuat atau berdepan tindakan undang-undang.”

SPRM turut menegaskan yang ia telah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 14 Ogos yang membatalkan penahanan reman Phee.

“Memandangkan proses itu masih berjalan, sebarang kenyataan daripada mana-mana pihak boleh dianggap subjudis dan menghina mahkamah,” kata SPRM.

Pada 14 Ogos, Abdul Wahab memutuskan untuk memihak kepada Phee dan dua pemilik kilang haram di Bukit Mertajam.

Phee ditahan reman bagi membantu siasatan SPRM berkaitan dakwaan beliau menggunakan kedudukan untuk mendapat habuan.

Beliau dan kerajaan negeri bagaimanapun menafikan dakwaan itu.

SPRM sedang menyiasat Phee berkenaan surat yang ditulisnya atas kapasitinya sebagai exco alam sekitar bagi menangguhkan tindakan penguatkuasaan ke atas kilang haram di Sungai Lembu.

Pengurus kilang, Gan Buck Hee, 70 dan anaknya, Edmund Gan, 35 yang merupakan pengarah kilang juga ditahan reman SPRM selama lima hari.

Selepas perintah reman dikeluarkan, peguam mereka berhujah mengatakan ianya tidak mengikut aturan, kerana pendaftar memutuskan permohonan reman SPRM tanpa perbicaraan peguam masing-masing.  – 25 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen