SEORANG peminat pasukan kelab bola sepak Chelsea dilarang menonton perlawanan selama tiga tahun selepas dihalau keluar ketika perlawanan Liga Premier menentang Brighton kerana menjerit mengeluarkan kata-kata berunsurkan homofobia.
Lelaki berusia 20 tahun itu mengaku bersalah atas tuduhan mengugut, mengeluarkan kata-kata hinaan ketika perlawanan Chelsea-Brighton di Stadium Amex pada 16 Disember.
Chelsea menang 2-1 dalam perlawanan itu.
Tertuduh diharamkan menonton perlawanan dan didenda AS$1219.
Jurucakap bagi pihak Brighton dan Hove Albion dalam satu kenyataan berkata: “Kami mengucapkan terima kasih kepada polis Sussex atas bantuan mereka dalam mengendalikan insiden tidak diingini.”
Larangan terhadap peminat itu insiden terbaru membabitkan penyokong Chelsea pada musim ini.
Seorang peminat Chelsea dituduh menjerit kata-kata berunsurkan perkauman terhadap bintang Manchester City, Raheem Sterling ketika Chelsea menang 2-0 melawan kelab itu di Stamford Bridge.
Pengurus Chelsea Maurizio Sarri mengakui kecewa dengan orang yang bodoh dan mencemarkan reputasi kelab itu selepas beberapa aduan tentang peminat Chelsea menyanyi dan melaungkan kata-kata anti semitik tentang penyokong Tottenham. – AFP, 4 Januari, 2019.
Komen