AKAL adalah rahmat kurniaan Tuhan. Justeru, negara tidak sempurna tanpa umat yang akliah. Akliah adalah saat kegelapan umat, muncul suluhan cahaya menerangi kegelapan. Ia sangat penting kerana itulah yang bakal membawa kepada pembentukan negara sempurna.
Sebaliknya negara mundur jika umat digulatkan dengan sentimen, emosi dan dibayangi simbol itu ini. Misalnya, Malaysia ini negara Islam atau negara sekular?
Justeru, untuk menuju negara sempurna tidak akan sesekali memisahkan akal dan jiwa. Begitulah percikan pemikiran tokoh falsafah Islam di Andalusia Abu Bakr Muhammad ibn al-Sayigh, dikenali dengan Ibn Bajjah. Karyanya terkenalnya Tadbir al-Mutawahhid. Lahir di Zaragosa pada abad ke-11 Masihi, beliau aktif dalam politik bahkan menjadi menteri. Pemikiran Ibn Bajjah turut disanjung tokoh Islam termasuk Ibn Tufayl dan Ibn Rusyd.
Namun, pencerahan pasti mengundang ranjau berliku. Misalnya Ibn Bajjah – berhempas pulas berfikir, merenung demi membawa umat keluar tempurung kebodohan. Beliau berdepan umat yang diatur dan dikawal oleh pentadbiran yang jauh daripada nilai kesempurnaan – manusia korupsi. Ketempangan nilai akliah dan rohani berlaku apabila pemerintah tidak menjadikan akal sebagai teras. Umat dimundurkan.
Ibn Bajjah “mengasingkan diri” dari benak kegelapan dan menawarkan pencerahan – mahu membina negara sempurna dalam dirinya. Namun, beliau tidak sesekali memisahkan diri dengan umat sebagaimana segelintir golongan sufi. Meraih kebahagiaan jalan mistisme – memutuskan hubungan dengan umat, konsep itu salah bagi Ibn Bajjah. Beliau ada mengkritik buku Imam al-Ghazali tentang tasawuf, al-Munqiz min al-Dhalal dan Ilya’ ‘ulum al-Din.
Sebaliknya, Ibn Bajjah mengajar umat mentadbir dalam diri – refleksi diri renungan akliah tinggi. Tindakan dan pilihan manusia jadi istimewa andai tingkahnya dikelolakan dengan penuh insani – pilihan dan kehendak terhasil dari pemikiran akliah yang “bersatu” dengan Tuhan. Insan akliah melawan dogma kaku beragama – bebas dari nafsu kejahatan dan mampu membentengi jiwa daripada nafsu. Dogma dan doktrin pula tidak mudah menembusi jiwa merdeka.
Tadbir negara diri
Menurut Ibn Bajjah, pengetahuan benar (makrifat) diperoleh lewat akal. Tidak seperti Al-Farabi yang menyebut akal sebagai pusat kepala masyarakat atau raja negara, sebaliknya Ibn Bajjah menyeru umat memuliakan akal malah beliau dianggap “menyembah akal”. Melalui akal, manusia meraih keabadian – wa al nazhar min had zihi al-jihah huwa al-hayah al-akhirah (rasionalistik adalah kehidupan akhirat).
Umat hari ini usahkan menyembah akal, meletakkan akal sedikit tinggi pun dituduh sesat dan kafir. Begitulah terjadi kepada Ibn Bajjah – menyembah akal sehingga menanggung derita sepanjang hidupnya. Ramai memusuhinya kerana beliau dikatakan terlalu menyanjung akal.
Disebut dalam kitab Qalaid al-iqyan dan kitab Mathmah bahawa Fath b. Khaqan menyerang Ibn Bajjah bertubi- tubi. Ibn Bajjah dianggap melampaui batas keagamaan.
Ibn Bajjah didakwa menolak kitab Tuhan, dituduh mengelirukan umat tentang wahyu sekali gus menolak pandangan umat harus kembali kepada Tuhan serta dituduh menghina firman-Nya. Tuduhan itu mempengaruhi umat untuk menjauhi pemikiran seperti Ibn Bajjah – digelar ateis. Ini sekali gus menghalang umat menggunakan akal kritis.
Begitulah, perjuangan Ibn Bajjah. Mahu cerahkan umat di tengah kedunguan manusia – tidak sepakat dengan kehidupan masyarakat negara tidak sempurna. Meskipun bercirikan demokrasi, kebebasan sekalipun, negara masih tidak sempurna. Justeru, kita perlu melawan pandangan masyarakat tidak sempurna dengan pengetahuan benar.
“Al-mutawahhid” ialah insan yang hidup di tengah kerakusan manusia tidak sempurna, korupsi dan menolak akliah. Pencerahan jiwa dan akal tidak terjadi tanpa ia bermula dari akliahnya sesebuah umat – bukan tunggu pencerahan dari atas (pemerintah). Jauh sekali menadah meminta disuapi dogma dan doktrin – pasti tidak maju.
Rakyat tidak boleh menunggu negara sempurna ketika pemikiran rejim tersasar jauh daripada nilai rohani dan akliah. Perubahan harus bermula dari setiap tubuh peribadi warganegara.
Itulah tadbir. Tadbir bagi Ibn Bajjah adalah pengetahuan tercerah. Tadbir sejati tentang negara adalah percikan pemikiran tercerah dari akliah sejati – pengetahuan rohani dan akliah. Tidak mungkin tersasar daripada kemanusiaan.
Al-mutawahhid adalah susuk yang memiliki tadbir dalam dirinya. Mampu kenal baik-buruk, mana zalim-manusiawi kerana menghayati spiritual sebagai perantaraan daripada komunikasi akal aktif – diarahkan menuju kebahagiaan dan ilahiah.
Peduli akal dan perut
Dalam realiti, mustahil wujud negara sempurna. Sebahagian besar umat tidak cerdas dalam memperkasakan akliah. Lihat sahaja umat Melayu-Islam yang melayani hal remeh temeh. Terperangkap dalam agama-simbol, menolak rasional, dihimpit isu perkauman. Sedangkan untuk menuju negara sempurna, perlu pengisian akliah bukan luapan emosi.
Ibn Bajjah menyebut di dalam Risalah al-wada’ bahawa kesempurnaan al-mutawahhid tidak memerlukan hukum tuhan tetapi memerlukan komunikasi akal aktif. Komunikasi ini hanya sempurna melalui ahli falsafah.
Negara memerlukan ahli falsafah (kelompok akliah) daripada nabi. Bukan pula bermaksud Ibn Bajjah menolak kenabian kerana nabi juga meraih aspirasi daripada akal aktif. Pemerhatian Ibn Bajjah terhadap al-mutawahhid bukan nabi. Namun nabi juga diutus ke negara tidak sempurna – cuma umat yang tiada upaya mengakses hubungan dengan Tuhan. Justeru, nabi menyediakan hukum.
Namun, kemunduran berlaku kerana umat mematuhi nabi (hukum Tuhan) tanpa akliah. Lalu, umat gagal memahami premis dan proses terjadinya sesebuah kesimpulan hukum. Manusia yang menggunakan akal berusaha mencapai premis dengan berfikir dan merenung – bukan sekadar tadah tanpa fikir. Sesungguhnya pengetahuan muncul apabila manusia memerah akal.
Menurut Ibn Bajjah, kemuncak kebahagiaan akal manusia melalui perantaraan komunikasi Ilahi – akal dengan Tuhan. Demi mencapai kesempurnaan akliah, seseorang harus mampu mentadbir diri dan mencorakkan tadbir kepada umat. Bagi Ibn Bajjah, tadbir manusia adalah analogi pantulan bagi tadbir Ilahi – akal Ilahi mentadbir semua perkara.
Ibn Bajjah menyebut, makan boleh jadi perbuatan manusiawi dan haiwani. Jadi haiwani apabila makan ikut nafsu. Sebaliknya menjadi manusiawi apabila makan demi memelihara kehidupan. Perbezaan kedua-dua perbuatan itu bergantung kepada motivasi pelakunya, bukan pada tingkahnya. Mengikuti nafsu tentulah haiwani sifatnya manakala menuruti rasio (akal) adalah sifat manusiawi.
Justeru, Ibn Bajjah berpendapat apabila sesuatu perbuatan dilakukan demi memuaskan akal, ia mirip dengan perbuatan ilahi kerana jiwa akliah menolak keinginan jiwa haiwani.
Maka tidak pelik dakwaan Ibn Bajjah bahawa kelompok pencerahan – sibuk meraih ilmu dan akliah darjatnya dikatakan lebih tinggi daripada nabi. Manusia pengatur tadbir kehidupan. Ironinya manusia juga diatur jadi hamba kelolaan manusia anti-akliah – lahir kelompok anti-akal kerana tiada budaya pencerahan umat.
Justeru, umat mesti mengangkat peranan akliah demi memantulkan pengetahuan benar – nilai kebaikan. Hatta mampu bina negara dengan acuan tadbir yang sempurna.
Negara akhlak bukan slogan
Benar kata Ibn Bajjah walau kedengaran begitu idealis. Sesebuah negara tidak perlu adanya doktor dan hakim. Kerana dalam negara sempurna, manusia tidak lagi sakit lantaran mereka tidak melanggar peraturan kesihatan. Juga tidak perlu hakim kerana manusia tidak lagi melanggar kemanusiaan sebaliknya hidup tanpa bercakaran, saling mengasihi dan hormat menghormati dan meraikan hubungan persaudaraan.
Inilah disebut negara sempurna. Namun, negara sempurna ibarat tunggu bulan jatuh ke riba – umumnya manusia tidak sempurna.
Justeru,“al-mutawahhid” sangat diperlukan. Biarlah pemerintah korup asal umat cerdas – tidak mudah disogok dan dibodohkan pemerintah. Jadi, pencerahan dalam diri mestilah berlaku sehingga sekurang-kurang kita menuju ke landasan negara sempurna.
Insan sebegini boleh lahir tanpa perlu berebut slogan Islam. Ironinya Melayu-Islam gamat bercakaran berebut negara atas nama Islam. Rakyat cerah akal tidak mudah dibayangi simbol. Tanpa simbol Islam sekalipun nilai akhlak tersebar hasil kebaikan yang terbit dari dalam diri.
Masalahnya, kedunguan umat yang berselindung atas nama agama. Beragama tanpa akal kritis. Beragama tidak berfikir tajam. Tidak merenungi sedalam-dalam pesan Tuhan. Akhirnya agama tinggal simbol semata-mata. Umat tidak lagi berakal dalam beragama. – 4 Januari, 2019.
* Mohd Syazreen Abdullah adalah penulis buku Bercakap dengan Quran dan Membebaskan Allah Dari Islam. Beliau bekas penuntut pengajian Islam di Universiti Yarmouk, Jordan dan aktif menulis tentang isu-isu pemikiran agama dan budaya.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen