Korban tanah runtuh, banjir Filipina cecah 122 orang


Para pegawai berkata kematian di wilayah Bicol kebanyakannya disebabkan oleh tanah runtuh yang dicetuskan oleh hujan lebat. – Gambar EPA, 3 Januari, 2019.

ANGKA kematian akibat tanah runtuh dan banjir yang disebabkan oleh hujan lebat di Filipina telah meningkat kepada 122 orang, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan agensi bencana kerajaan pada Khamis.

Majlis Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Negara Filipina (NDRRMC) menyebut bahawa sejumlah 37 kematian baharu dilaporkan berhubung fenomena lekukan tropika baru-baru ini, menjadikan jumlah kematian kepada 122 orang.

Kematian baharu itu berlaku di wilayah paling teruk terjejas iaitu Bicol, yang menyaksikan jumlah kematian keseluruhan 105. 

Para pegawai berkata kematian di wilayah itu kebanyakannya disebabkan oleh tanah runtuh yang dicetuskan oleh hujan lebat.

Presiden Filipina Rodrigo Duterte dijadual melawat wilayah Bicol pada Jumaat, kata jurucakap kepresidenan Salvador Panelo yang menambah bahawa Duterte ingin menyaksikan sendiri kemusnahan yang disebabkan oleh hujan lebat.

Duterte juga ingin memastikan bahawa langkah-langkah sedang diambil untuk mengurangkan beban mereka yang terjejas akibat fenomena itu, kata Panelo.

Terdahulu, Pengarah Eksekutif NDRRMC Ricardo Jalad berkata jumlah tinggi kematian akibat ribut Usman adalah disebabkan kegagalan pemindahan awal penduduk di kawasan berisiko meskipun terdapat amaran bahawa hujan lebat mungkin mencetuskan banjir dan tanah runtuh.

Jalad berkata agensi itu telah turun padang dan mengeluarkan nasihat daripada biro cuaca berhubung potensi risiko ribut Usman. 

Beliau berkata pemindahan penduduk adalah tugas yang dipikul oleh para pegawai kerajaan tempatan.

Menurut NDRRMC, hampir 74,000 keluarga atau lebih 308,000 orang dari 457 kawasan di Filipina terjejas akibat fenomena lekukan tropika yang melanda daratan pada 29 Disember 2018. – Bernama, 3 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen