Usah teruja janji pembangkang batal ECRL, kata Syed Hamid


Low Han Shaun Noor Azam Shairi

Untuk meyakinkan pengundi, Pakatan Harapan perlu gariskan agenda yang berlainan daripada kerajaan yang memerintah, ia bukan perkara mengejutkan, kata Syed Hamid Albar. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 25 Ogos, 2017.

PAKATAN Harapan akan menabur apa saja janji kalau menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti, termasuk membatalkan dua projek landasan keretapi yang sedang dibangunkan oleh Putrajaya, kata bekas menteri Syed Hamid Albar, kerana sebagai pembangkang, mereka harus tampil berbeza daripada kerajaan yang memerintah.

“Saya tak ada hendak kata apa-apa kepada mereka (Pakatan Harapan). Bagi saya, mereka parti politik yang hendak bertanding dalam pilihan raya. Untuk meyakinkan pengundi, mereka perlu gariskan agenda yang berlainan daripada kerajaan yang memerintah.

“Saya tidak terkejut mereka umumkan perkara seperti ini. Kalau tidak, rakyat akan tanya pada mereka kenapa bazirkan masa kami (mendengar ceramah)?

“Jadi, tak usahlah terlalu teruja dengan janji-janji itu,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Ketika pentadbiran Dr Mahathir, Syed Hamid bertugas sebagai menteri pertahanan dan menteri luar negeri.

Syed Hamid, yang juga bekas pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), diminta mengulas kenyataan Dr Mahathir Mohamad semalam, sekiranya menang PRU14, Pakatan Harapan akan menyemak semula beberapa projek mega “yang tidak perlu” dan akan membebankan kewangan negara.

“Kalau menang pilihan raya sekali pun, mereka perlu meneliti semula kenyataan mereka ini. Sekarang mereka tidak duduk dalam kerajaan, mereka boleh kata macam-macam,” tambah Syed Hamid.

Dr Mahathir dalam kenyataannya secara khusus merujuk kepada projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) bernilai RM55 bilion yang menghubungkan Lembah Klang dengan Kota Bharu melalui Pahang dan Terengganu serta projek Keretapi Berkelajuan Tinggi (HSR) antara Kuala Lumpur dan Singapura bernilai RM43 bilion.

Menurut Dr Mahathir, projek itu membazir dan tidak perlu, malah hanya menyebabkan Malaysia menanggung hutang besar yang akan dibayar oleh rakyat.

“Kita perlu runding semula dan malah batalkan sebahagiannya dan membayar ganti rugi,” kata Dr Mahathir, dan menambah membayar ganti rugi itu lebih baik daripada menanggung hutang besar yang tidak pasti bila boleh dilangsaikan.

Syed Hamid turut melahirkan rasa hairan dengan kenyataan Dr Mahathir itu kerana beliau dulu pun, semasa jadi perdana menteri, membangunkan infrastruktur termasuk kemudahan pengangkutan untuk menjana pembangunan ekonomi di seluruh negara.

Syed Hamid merujuk kepada dasar pembangunan Dr Mahathir yang mengubah ekonomi Malaysia antara lain dengan membangunkan jaringan lebuh raya, pelabuhan dan lapangan terbang antarabangsa.

“Kita perlu melihat projek ini dari perspektif ekonomi, manfaat sampingannya kepada pembangunan setempat dan manfaat kepada penduduk di kawasan terlibat. Suatu hari nanti, kita akan nampak manfaatnya. 

Jelas Syed Hamid, pembangunan negara ini tidak harus hanya bertumpu di wilayah pantai barat sehingga mengabaikan bahagian pantai timur yang masih perlahan pertumbuhan ekonominya.

“Kita bukan melihat dalam perspektif lima tahun (kitaran pilihan raya). Kita melihat perspektif 20 tahun, mengikut pelan induk SPAD,” katanya.

Tentang jangkaan beban hutang yang dibangkitkan oleh Pakatan Harapan dan beberapa ahli ekonomi, Syed Hamid berkata soalan itu seharusnya dikemukakan kepada kerajaan, yang memutuskan dengan siapa dan bagaimana projek itu dibiayai dan dibangunkan.

Syed Hamid sebelum ini dilaporkan menyebut ECRL dijangka akan memberikan manfaat bernilai RM50 bilion kepada sosioekonomi penduduk di kawasan luar bandar di pantai timur.

Selain memendekkan masa perjalanan, ECRL juga katanya dijangka akan mengurangkan kos pengangkutan antara 40% hingga 50%.

Syed Hamid pernah berkhidmat di SPAD selama tujuh tahun sehingga jawatannya diambil alih oleh bekas pengerusi Felda Golden Ventures, Isa Samad pada awal Jun lalu. – 25 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen