Sudan lanjut tempoh darurat 2 negeri


Presiden Omar al-Bashir pada asalnya telah mengeluarkan satu dekri yang mengisytiharkan darurat di Kordofan Utara dan Kassala pada 30 Disember 2017. – Gambar EPA, 3 Januari, 2019.

PARLIMEN Sudan telah meluluskan pelanjutan tempoh darurat di dua negeri iaitu Kordofan Utara dan Kassala selama enam bulan, lapor agensi berita rasmi Turki Anadolu memetik media tempatan.

Saluran TV tempatan Ashorooq pada Rabu melaporkan bahawa pelanjutan tempoh darurat di Kassala adalah disebabkan oleh kewujudan rangkaian penyeludupan manusia, senjata api dan dadah.

Di Kordofan Utara, alasan yang digunakan ialah pertambahan kenderaan tidak berlesen serta kehadiran beberapa elemen pemberontak yang mengancam kestabilan di rantau itu.

Presiden Omar al-Bashir pada asalnya telah mengeluarkan satu dekri yang mengisytiharkan darurat di kedua-dua negeri pada 30 Disember 2017.

Pihak berkuasa Sudan berkata sekurang-kurangnya 19 orang terbunuh bulan lepas dalam demonstrasi jalanan di beberapa negeri yang membantah kenaikan harga dan kekurangan komoditi asas.

Kumpulan pembangkang berkata angka kematian hampir mencecah 40 orang.

Pihak berkuasa mengumumkan keadaan darurat serta perintah berkurung di beberapa wilayah susulan bantahan itu, dan pegawai kerajaan telah menuduh Israel berkomplot dengan kumpulan pemberontak untuk mencetuskan keganasan di negara tersebut. – Bernama, 3 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen