KERAJAAN Cuba mengekalkan rekod bagi kadar kematian bayi yang rendah pada 2018, lapor agensi berita China Xinhua memetik media tempatan pada Rabu.
Kadar kematian bayi di negara itu adalah 4 bagi setiap 1,000 kelahiran, kata Roberto Alvarez, ketua jabatan obstetrik dan pediatrik Kementerian Kesihatan kepada akhbar harian Granma.
Malah di negara Kepulauan Caribbean itu, insiden kematian dalam kalangan bayi baharu lahir menurut sedikit daripada 4.044 kematian bagi setiap 1,000 kelahiran pada 2017 kepada 3.963 dalam 2018.
Menurut data awal, terdapat sejumlah 116,320 kelahiran tahun lepas, menyaksikan peningkatan sebanyak 1,349 berbanding tahun sebelumnya, yang dipuji oleh para pegawai memandangkan populasi Cuba semakin menua dan kadar kelahiran adalah rendah seperti di kebanyakan negara maju.
Peningkatan keseluruhan dalam kelahiran yang sihat adalah hasil daripada program Doktor dan Jururawat Keluarga Cuba selain satu lagi program nasional untuk mendiagnos, mengurus serta mencegah kecacatan kongenital dan penyakit genetik, kata Alvarez.
Kadar kematian akibat kecacatan kongenital telah jatuh di bawah satu bagi setiap 1,000 kelahiran hidup sejak enam tahun lepas, berada pada tahap 0.8 pada akhir Disember.
Di Cuba, bayi baharu lahir boleh mendapatkan pemeriksaan perubatan bulanan percuma pada tahun pertama, dan turut diperiksa oleh pakar genetik dan diberikan suntikan vaksin bagi mencegah 12 penyakit.
Setiap wanita hamil menerima secara purata 17 pemeriksaan perubatan dan hampir semua melahirkan bayi di hospital serta pusat kelahiran. – Bernama, 3 Januari, 2019.
Komen