Mudah bantah daftar pemilih, pengundi baru risau disalah guna


Noel Achariam Yasmin Ramlan

Malaysia tidak mengamalkan pendaftaran pengundi secara automatik dan sesetengah pengundi baru mendapati sistem bantahan sedia ada mudah untuk disalahgunakan pihak tertentu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 3 April, 2017.

ROSS Stephenson, 24, teruja untuk melaksanakan hak demokratiknya dan pada Ogos 2016, mendaftar sebagai pengundi baru.

Bagaimanapun, dia terkejut apabila menerima notis pada Februari daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),  memberitahu statusnya sebagai “pengundi meragukan”.

Stephenson kemudian diarahkan hadir pada siasatan awam di cawangan SPR di Shah Alam.

Sebagai pengundi kali pertama, dia sepatutnya layak mengundi di kawasan Petaling Jaya Selatan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), yang mesti diadakan sebelum 24 Ogos, 2018.

“Saya memeriksa status dengan kerap dalam talian dan terkejut apabila mendapati seseorang membantah permohonan saya. Sebabnya ialah ‘pemilih diragui’,” kata Stephenson.

Jika pengundi baru gagal hadir siasatan awam pada tarikh dan masa ditetapkan, maka permohonannya akan dibatalkan.

Pada Perhimpunan Agung Umno pada Disember 2016, Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Perdana Menteri Najib Razak membayangkan PRU14 akan diadakan “tidak lama lagi”.

(Pengundi baru yang berdaftar sebelum 31 Mac layak mengundi pada September).

Mudah untuk membantah

“Saya pergi ke pejabat SPR untuk membuat pemeriksaan dan mengetahui bagaimana pembantah memperoleh butiran saya,” kata Stephenson.

Seorang pegawai SPR memberitahu, sesesiapa sahaja boleh memeriksa status pengundi baru di pejabat kerana semua butiran seperti nama, alamat dan nombor kad pengenalan, dicetak dalam daftar pemilih.

“Pegawai itu berkata maklumat boleh didapati secara umum… pembantah hanya perlu membayar RM10 untuk setiap borang bantahan,” katanya.

Apabila Stephenson (gambar) hadir di pejabat SPR di Shah Alam pada 6 Mac, terdapat lebih 40 pengundi baru yang menunggu untuk mendengar kes mereka. Terdapat juga 10 pembantah di pejabat.

“Di hadapan hakim saya menunjukkan bukti seperti bil utiliti dan sijil kelahiran. Selepas hakim mengkaji bukti, beliau memutuskan pendaftaran saya adalah sah.

“Hakim kemudian menganugerahkan RM100 sebagai pampasan dan berkata pembantah perlu membayar denda itu.

“Jika saya tidak hadir untuk pendengaran, nama saya akan dikeluarkan dan perlu mendaftar semula.”

Pembantah masih belum membayar denda RM100.

Stephenson berkata terdapat alasan yang sah untuk membantah, seperti untuk mengelakkan “pengundi hantu”, individu yang meninggal dunia atau berhijrah ke luar negara.

“Sistem bantahan ada sebagai satu bentuk ketelusan dan akauntabiliti, tetapi kebimbangan saya ia disalahgunakan pihak tertentu.”

Berhadapan situasi yang sama, perunding IT Chim Chee How, 25, bakal mengundi di kawasan Petaling Jaya Selatan.

Dia terkejut apabila menerima surat daripada SPR bulan lalu, menyatakan dia sebagai pengundi meragukan.

“Apa yang membuat saya jengkel adalah saya terpaksa membatalkan mesyuarat pada tarikh diberi dan tergesa-gesa pergi ke cawangan SPR untuk menghadiri pendengaran awam.

“Semasa siasatan itu, saya mendapat tahu jiran saya adalah pihak yang membantah pendaftaran itu. Apabila saya bertanya mengenainya, dia memberitahu seseorang menyuruhnya membuat bantahan.

“Saya berasa ada sesuatu mencurigakan berlaku,” katanya.

Pelajar Universiti Monash, Ho Wing Tjun, 23, yang juga ditanda sebagai pengundi meragukan dan terpaksa menghadiri siasatan awam pada 6 Mac, berkata kejadian itu membuatkannya lebih berazam untuk memastikan tersenarai dalam daftar pemilih.

Ho, yang akan mengundi di kawasan pilihan raya sama seperti Stephenson dan Chim, berkata memenangi kes itu dan dimaklumkan namanya akan tersenarai dalam daftar pemilih dalam tempoh tiga bulan.

“Saya akan terus menyemak status pendaftaran sehingga nama saya ada. Tiada apa akan menghalang saya daripada mengundi dalam pilihan raya umum.”

Menghalang pengundi baru

Pengarah Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan (NOW), Akmal Nasir berkata proses bantahan adalah satu cara paling mudah bagi sesetengah pihak untuk menindas hak pengundi.

“Sebelum ini, kita mempunyai isu tidak cukup borang atau beberapa kaunter SPR menghalang pengundi baru daripada membuat permohonan.

“Tetapi dengan teknik baru ini, ia lebih mudah bagi mereka (pihak tertentu) menghentikan orang daripada menjadi pengundi.”

Akmal berkata ia percubaan terdesak oleh beberapa kumpulan untuk merosakkan proses pendaftaran dengan menyalahgunakan sistem.

“SPR perlu meneliti proses permohonan, kerana ia terbuka kepada penyalahgunaan dan ada melakukannya untuk kepentingan peribadi mereka. SPR mestilah memperbaiki proses bantahan itu.”

Akmal, berkata pertubuhan bukan kerajaan cuba mendekati 2 juta daripada 4 juta pengundi tidak berdaftar.

“Kami mempunyai pusat panggilan yang cuba untuk mendekati pengundi tidak berdaftar dan menjangkakan mampu mencapai kira-kira 5% hingga 10% kadar capaian. Jika mereka ada sebarang aduan atau isu, kita akan membantu untuk mendaftar.

“Kami juga akan membawa ARO (pegawai pendaftar pembantu) ke rumah dan mendaftar mereka.”

Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah berkata, SPR perlu melaksanakan pendaftaran mengundi automatik, yang membolehkan hubungan antara Jabatan Pendaftaran Negara dan SPR.

“Sistem ini akan mempunyai butiran lengkap mengenai nama, umur dan alamat pengundi. Ia juga mempunyai pangkalan data individu yang meninggal dunia atau berhijrah. Sistem ini akan menjimatkan dana pembayar cukai,” katanya.

Maria berkata, SPR perlu melaksanakan sistem itu melainkan jika ia mempunyai agenda tersembunyi.

“Adakah mereka bertujuan untuk melucutkan hak pengundi yang disasarkan, seperti di Selangor? Kami juga baru-baru ini menerima aduan daripada pengundi baru yang pendaftaran mereka dicabar di Kedah.”

Maria menasihatkan pengundi sedia ada dan baru agar sentiasa memeriksa status mereka serta menggesa mereka membuat aduan jika nama hilang daripada daftar pemilih. – 3 April, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen