Pembangkang Bangladesh boikot majlis angkat sumpah ahli Parlimen baharu


Sheikh Hasina dan 290 ahli Parlimen lain - terutamanya dari parti pemerintah Liga Awami Bangladesh dan sekutunya - mengangkat sumpah hari ini di mana Hasina dipilih sebagai ketua parlimen. – Gambar EPA, 3 Januari, 2019.

AHLI-ahli Parlimen pembangkang Bangladesh hari ini memboikot majlis angkat sumpah ahli Parlimen baharu selepas pilihan raya yang kontroversi pada Ahad lepas.

Sheikh Hasina diisytiharkan menang dan memegang jawatan perdana menteri buat penggal ketiga.

Hasina dan 290 ahli Parlimen lain - terutamanya dari parti pemerintah Liga Awami Bangladesh dan sekutunya - mengangkat sumpah hari ini di mana Hasina dipilih sebagai ketua parlimen.

Tetapi tujuh ahli Parlimen pembangkang memboikot majlis angkat sumpah itu dan menggesa supaya pilihan raya diadakan semula.  Jurucakap Parlimen, Kamal Hossain berkata pilihan raya baharu akan diadakan semula jika ahli-ahli Parlimen tidak mengangkat sumpah dalam tempoh 90 hari.

Pemimpin dan calon pembangkang mengadakan pertemuan di Dhaka selepas pilihan raya Ahad lepas dan dijangka akan mengemukakan permohonan rasmi kepada suruhanjaya pilihan raya Bangladesh supaya keputusan undi dibatalkan. 

Parti Kebangsaan Bangladesh (BNP) dan sekutunya berkata keputusan undi pilihan raya telah dimanipulasi.

Kesatuan Eropah telah menggesa pihak berkuasa Bangladesh supaya menyiasat kejadian keganasan pada pilihan raya, manakala Amerika Syarikat menyatakan kebimbangan terhadap laporan ancaman keganasan. – AFP, 3 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen