SEKURANG-kurangnya 13 orang awam terbunuh di Burkina Faso dalam satu keganasan etnik terbaru yang melanda negara itu, lapor agensi berita rasmi Turki Anadolu memetik media tempatan.
Sekumpulan lelaki bersenjata yang tidak dikenali dilaporkan telah menyerang Kampung Yirgou dalam daerah Barsalogo pada lewat Isnin, menyebabkan enam orang terbunuh termasuk ketua kampung.
Sebagai tindak balas, penduduk Kampung Yirgou yang kebanyakannya terdiri daripada etnik Mossi telah membunuh tujuh penternak lembu dari puak Fulani, yang mereka persalahkan kerana didakwa melindungi kumpulan lelaki bersenjata itu.
Gabenor wilayah Tengah-Utara, Nandy Some-Diallo, dalam satu kenyataan menyebut bahawa pasukan keselamatan telah dihantar ke kawasan itu dan satu siasatan sedang dijalankan.
Burkina Faso telah diancam oleh serangan pengganas sejak 2015.
Pada 27 Disember, satu serangan pengganas ke atas pasukan keselamatan di Negeri Sourou yang terletak di barat laut Burkina Faso menyebabkan 10 anggota polis antarabangasa maut.
Susulan insiden itu, keadaan darurat telah diisytihar di tujuh daripada 13 wilayah pentadbiran negara itu. – Bernama, 3 Januari, 2019.
Komen