ANGKA korban akibat letupan gas di sebuah blok pangsapuri di Rusia pada malam Tahun Baru naik kepada 37 orang hari ini apabila penyelamat menemui lebih banyak mayat dari bangunan yang separa runtuh.
Enam kanak-kanak antara yang maut, manakala empat orang lagi masih belum ditemui, kata Kementerian Kecemasan Rusia dalam satu kenyataan.
Dengan suhu serendah -27 darjah Celsius, para penyelamat gigih mencari mangsa menerusi besi dan batu konkrit di kawasan kejadian yang terletak di Magnitogorsk.
Enam orang termasuk dua kanak-kanak berjaya diselamatkan, namun tiada mangsa ditemui sejak Selasa. Seorang bayi berusia 10 bulan berjaya ditemui yang disifatkan penyelamat sebagai “keajaiban Tahun Baru”.
Letupan pada awal Isnin itu telah memusnahkan bangunan 10 tingkat di kawasan perindustrian yang terletak hampir 1,700km di timur Moscow.
Blok pangsapuri yang dibina pada era Soviet itu menempatkan kira-kira 1,100 penghuni. Sebanyak 35 buah pangsapuri musnah teruk, menyebabkan berpuluh orang hilang tempat tinggal.
Kementerian Kecemasan Rusia berkata kerja-kerja pencarian masih diteruskan hari ini melibatkan 900 anggota pencari dan penyelamat. – AFP, 3 Januari, 2019.
Komen