FAKTOR usia dan tidak bertugas dengan baik mengikut jadual yang ditetapkan antara punca 25 imam kariah di sekitar Perlis dipecat, manakala lebih 10 lagi ditukarkan ke kariah lain, kata sumber.
Sumber memberitahu The Malaysian Insight, sebahagian besar imam yang digugurkan itu adalah sudah menjangkau umur 60 tahun dan bukannya kerana melakukan sesuatu bertentangan pada tanggapan pihak berkuasa agama seperti yang dilaporkan.
“Tidak ada isu sebenarnya. Sebahagian besar itu diberhentikan sebab sudah cukup umur 60 tahun.
“Yang lain ada yang jarang ikut jadual bertugas. Imam yang lama-lama ini sering serah tugas kepada imam kedua atau imam ketiga. Bertugas hanya ikut ‘rajin’ mereka, tidak ikut jadual,” kata sumber ketika dihubungi The Malaysian Insight.
Jabatan Agama Islam Perlis (Jaips) dilaporkan memecat 25 imam kariah berkuat kuasa 1 Januari, manakala lebih 10 lagi imam ditukarkan ke kariah lain melalui surat bertarikh 31 Disember 2018.
Susulan daripada itu timbul dakwaan tindakan ke atas imam-imam itu dibuat kerana mereka dianggap “tidak sehaluan serta tidak mematuhi amalan” di Perlis antaranya, berkait dengan kegiatan masjid seperti nasyid, gotong royong serta program ceramah.
Sumber menjelaskan kepada The Malaysian Insight, keputusan melantik atau menyambung tugas imam terletak di bawah kuasa Jaips dengan kelulusan Majlis Agama Islam Perlis (Maips) yang diterajui Raja Perlis dan bukannya kuasa pejabat Mufti.
“Difahamkan hanya ada satu kes sahaja yang berkaitan dengan politik. Lantikan imam semua dibuat oleh Raja, bukan mufti atau pejabat agama.
“Segala keputusan penamatan itu telah dibincangkan dalam mesyuarat Maips yang dipengerusikan oleh Raja Muda selaku yang dipertua. Pengarah Jaips dan mufti adalah ahli jawatankuasa Maips,” katanya.
Sementara itu, Mufti Perlis Mohd Asri Zainal Abidin dijangka akan menjelaskan perkara ini dalam kuliah di Masjid Alwi di Kangar malam ini selepas beliau dituduh memecat semua imam tersebut.
“Sebelum dipengaruhi oleh ulasan kumpulan politik tertentu, dapatkan maklumat yang sahih supaya anda tidak membuat fitnah sesama muslim.
“Tunggu jawapan SS Dr Maza malam ini secara live,” tulis beliau di laman Facebook rasminya tengah hari tadi. – 3 Januari, 2019.
Komen