Pabuk tiba, pelancong kosongkan pulau peranginan Thai


Pelancong mengosongkan pulau peranginan Koh Phangan dan Koh Tao susulan ribut tropika Pabuk diramal bakal melanda Thailand malam esok. – Gambar AFP, 3 Januari, 2019.

RIBUAN pelancong bergegas keluar dari pulau peranginan Koh Phangan dan Koh Tao susulan ribut tropika Pabuk diramal bakal melanda Thailand dengan hujan lebat, angin kuat dan ombak setinggi 7meter.

Pulau-pulau itu yang menjadi tumpuan pelancong terutama ketika musim percutian Krismas dan Tahun Baharu, mulai kosong sejak semalam dengan pelancong menaiki feri terus ke selatan Thailand, di mana mereka dilarang berenang dan semua bot menghentikan perkhidmatan.

Pabuk, ribut tropika pertama melanda di luar musim monsun selama kira-kira 30 tahun, diramal melanda Koh Phangnan dan Koh Tao dan juga Koh Samui pada Jumaat malam, sebelum membadai ke kawasan tanah besar.

Tiada arahan pengosongan rasmi dikeluarkan tetapi pelancong keluar dari pulau berkenaan.

“Saya rasa semua pulau hampir kosong. Antara 30,000 hingga 50,000 keluar sejak parti malam Tahun Baharu,” kata Ketua Daerah Koh Phangnan Krikkrai Songthanee.

Pabuk membawa angin selaju 104km sejam tetapi mungkin tidak bertukar menjadi taufan penuh, menurut ramalan kaji cuaca. – AFP, 3 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen