Lembaga Getah rugi RM800 juta kes jual tanah


Yeoh Cheong Ee

PENTADBIRAN Najib Razak memaksa Lembaga Getah Malaysia (LGM) menjual sebidang tanah yang luas dengan harga murah kepada satu agensi pada 2010, dedah Menteri Industri Utama Teresa Kok.

Agensi berkenaan seterusnya mengaut untung besar sebanyak RM800 juta dengan menjual tanah berkenaan kepada syarikat dikaitkan dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kata Kok.

Jelasnya, LGM dipaksa menjual 1,133 hektar tanah itu pada harga taksiran yang rendah, RM1.5 bilion.

Jualan tanah di Sungai Buloh itu yang dibuat secara terus kepada Aset Tanah Negara Berhad (ATNB) diluluskan Kabinet pada Oktober 2010, katanya.

“Kini LGM dapat tahu tanah tersebut kemudiannya dibeli oleh KWASA Land (EPF) untuk satu pertimbangan jualan kira-kira RM2.28 bilion.

“Oleh itu LGM kerugian. Terdapat perbezaan kira-kira RM800 juta. LGM kini menuntut bahawa ia berhak ke atas perbezaan harga RM800 juta itu. Sehingga kini, jumlah itu masih belum dapat diperolehi,” kata Kok.

KWASA Land Sdn Bhd merupakan anak syarikat milik penuh KWSP dan berfungsi sebagai pembangun utama dengan kerjasama syarikat lain bagi projek ke atas tanah di sekitar Lembah Klang.

ATNB pula satu syarikat tujuan khas tetapi individu yang mengetuainya tidak dikenali, kata pengerusi LGM Sankara N Nair yang turut hadir dalam sidang media bersama Kok.

Katanya, lembaga LGM tiada maklumat mengenai ATNB dan telahpun memohonnya daripada Ketua Audit Negara.

Kok pula seterusnya berkata LGM melapora jualan itu kepada Jabatan Audit Negara untuk pelaksanaan audit dan siasatan lanjut.

Kementeriannya dan juga LGM bercadang untuk melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai kes tersebut, kata Sankara.

Kok pula menambah, LGM sudahpun membuat laporan berasingan kepada SPRM pada November berhubung pelanggaran prosedur lembaga tersebut.

Kes tersebut menyebabkan LGM kerugian RM70 juta kerana dipaksa melantik dua syarikat untuk pembangunan kawasan lain di Sungai Buloh yang tidak dijual kepada ATNB.

Dua syarikat tersebut adalah KLIA Consultancy Services Sdn Bhd dan KLIA Associates Sdn Bhd, katanya.

Pembangunan di kawasan baki tanah tersebut adalah untuk membina makmal, menara pejabat, pusat muzium, prasarana sukan dan kompleks pemindahan teknologi.

Projek diluluskan seawal 2013 oleh Lembaga LGM tetapi ditamatkan pada Februari tahun lalu selepas 5% siap.

Menteri yang bertanggungjawab ke atas LGB pada masa itu adalah ahli politik Sabah, Bernard Dompok yang merupakan menteri perladangan, industri dan komoditi.

Kok berkata beliau menguatkuasa penggantungan sementara ke atas pembangunan di semua tanah milik LGM ternasuk ke atas projek yang sudah diluluskan.

Katanya, LGM perlu kembali kepada mandat asalnya untuk menjalankan kajian ke atas getah. – 3 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen