SEORANG lelaki maut ditikam dan seorang lagi cedera dalam satu serangan di pusat Scientology di Sydney hari ini.
Polis berkata seorang remaja ditahan selepas dua lelaki didakwa ditikam di pusat berkenaan yang terletak di utara bandar itu.
Kedua-dua mangsa dikejarkan ke hospital dan salah seorangnya yang berusia 20-an meninggal dunia. Seorang lagi dalam keadaan stabil dengan kecederaan ringan.
Tidak jelas sama ada kedua-dua mangsa adalah ahli Gereja Scientology, dan sama ada serangan berlaku di tengah atau luar gereja itu.
Remaja berusia 16 tahun terbabit ditahan di balai polis Chatswood untuk membantu siasatan, kata polis New South Wales.
Pusat Scientology itu dibuka pada 2016 oleh David Miscavige, ketua Gereja Scientology dan menjadi ibu pejabat untuk organisasi itu di Australia. – AFP, 3 Januari, 2019.
Komen