Hampir 300 militan Boko Haram maut serangan tentera Niger


Serangan kumpulan pemberontak Boko Haram menyebabkan 200,000 nyawa terkorban di Nigeria sejak 2009. – Gambar AFP, 3 Januari, 2018.

TENTERA Niger berjaya membunuh lebih 280 orang militan Boko Haram berhampiran sempadan tenggara dengan Nigeria melalui serangan darat dan udara, kata kementerian pertahanan pada Rabu.

Lebih 200 militan terbunuh dalam serangan udara dan 87 lagi susulan serbuan darat sejak serangan bermula pada 28 Disember, kata kementerian itu dalam satu kenyataan yang dibacakan di televisyen negara.

Ia susulan pemimpin Afrika Barat mengadakan perbincangan pada November berhubungan serangan yang semakin galak oleh kumpulan Islam Nigeria di kawasan Tasik Chad, wilayah strategik di mana sempadan Chad, Cameroon, Nigeria dan Niger bertumpu.

Operasi dijalankan di kepulauan Tasik Chad dan sepanjang sungai Komadougou Yobe yang merupakan sempadan semula jadi antara Niger dan Nigeria, yang dilanda serangan baru-baru ini di pangkalan tentera.

Tentera Niger berkata tiada anggota yang maut atau peralatan dalam serangan itu serta bertindak merampas lapan kanu dan dua pelancar roket serta senjata, peluru dan kenderaan.

Pada Disember, menteri pertahanan Niger berkata bimbang Boko Haram akan melancarkan lagi serangan, apabila air Sungai Komadougou Yobe yang biasanya menjadi penghalang mulai surut.

Niamey bimbang dengan keadaan di Nigeria di mana “pangkalan tentera telah dikalahkan,” kata Menteri Pertahanan Kalla Moutari di Parlimen.

Pemberontakan Boko Haram bermula di Nigeria timur laut pada 2009 tetapi sejak itu merebak ke negara jiran, menyebabkan tindak balas tentera serantau.

Seramai 27,000 orang terbunuh dan dua juta berpindah, mencetuskan krisis kemanusiaan yang teruk di wilayah ini.

Militan menyasarkan tentera dan orang awam serta dipersalahkan kerana penculikan kanak-kanak dan pekerja syarikat asing.

Pada November, belasan remaja perempuan diculik dalam serbuan di beberapa kampung di sempadan tenggara Niger.

Pada bulan yang sama, tujuh pekerja tempatan sebuah syarikat penggerudian Perancis dan pegawai kerajaan terbunuh selepas, serbuan bersenjata yang disyaki dilakukan oleh Boko Haram di kawasan mereka.

Serangan itu memusnahkan keadaan tenang selama beberapa bulan di wilayah Diffa berhampiran lembah Tasik Chad. – AFP, 3 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen