22 parti pembangkang desak presiden Sudan berundur


Konflik di Sudan tercetus pada 19 Disember selepas kerajaan mengumumkan kenaikan harga roti, yang menyebabkan tunjuk perasaan besar mendesak Bashir berundur berlaku di seluruh negara, membunuh sekurang-kurangnya 19 orang dan mencederakan ratusan yang lain. – Gambar EPA, 3 Januari, 2019.

DUA puluh dua parti pembangkang dan kumpulan penentang pada Selasa mendesak Presiden Sudan Omar al-Bashir berundur, desakan terbaru selepas dua parti utama, “Sudan Reform Now” dan “Umma Party” mengumumkan keluar daripada pakatan kerajaan.

Mereka mendesak Bashir memberikan kuasa kepada “majlis kedaulatan” untuk pembentukan kerajaan peralihan yang akan menentukan tarikh sesuai pilihan raya, lapor Al Jazeera.

Kumpulan itu terdiri daripada beberapa kumpulan Islam yang pernah jadi sekutu Bashir serta kumpulan serpihan parti politik tradisional yang lain menggelarkan diri mereka “National Front for Change”.

Bashir merampas kuasa di Sudan pada rampasan kuasa 1989.

Gabungan pembangkang itu berkata mereka akan menghantar memorandum tuntutan kepada presiden hari pada Rabu, dan kegagalan perubahan kuasa akan mengheret Sudan ke kancah konflik lebih buruk.

“Kerajaan perlu menamatkan pemerintahannya dan berundur. Kita perlu membentuk majlis dan kerajaan peralihan yang akan mentadbir pentas baharu dan menyediakan kita untuk pilihan raya.

Gabungan pembangkang itu mencadangkan pembentukan kerajaan yang akan mengembalikan kebebasan, demokrasi dan menghentikan kemelut di daerah Kordofan dan Darfur, serta kawasan selatan Nile Biru di Khartoum.

Kerajaan masih tidak mengeluarkan kenyataan rasmi terhadap tuntutan pembangkang itu.

Konflik di Sudan tercetus pada 19 Disember selepas kerajaan mengumumkan kenaikan harga roti, yang menyebabkan tunjuk perasaan besar mendesak Bashir berundur berlaku di seluruh negara, membunuh sekurang-kurangnya 19 orang dan mencederakan ratusan yang lain.

Jumlah maut dianggar lebih tinggi, menurut angka dikeluarkan Amnesty International seramai 37 orang.

Selasa lepas, Bashir mengarahkan pembentukan jawatankuasa untuk menyiasat punca keganasan pada protes anti kerajaan itu. – 3 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen