DISNEY buat tahun kedua mengumumkan kutipan terbaik pecah panggung, meraih AS$7.325 bilion di seluruh dunia daripada filem-filemnya termasuklah Black Panther, Avengers: Infinity War, Incredibles 2 dan filem Star Wars terbaru.
Disney kekal sebagai studio tunggal meraih lebih AS$7 bilion dalam kutipan pecah panggungnya. Pada 2016, ia mengutip AS$7.6 bilion, kutipan terbaiknya setakat ini.
“Terima kasih kepada sokongan peminat Disney, Pixar, Marvel Studios dan Lucasfilm di seluruh dunia. Ia adalah antara tahun menakjubkan untuk Walt Disney Studios,” kata Pengerusi Alan Horn dalam satu kenyataan.
Di Amerika Utara sahaja, Disney meraih hampir AS$3.1 bilion, rekod terbaru industri, kerana kejayaan Black Panther, Avengers: Infinity War dan Incredibles 2- ketiga-tiganya sudah masuk 10 filem mempunyai kutipan tertinggi sepanjang zaman.
Setiap satu filem tersebut meraih lebih AS$600 juta di Amerika Syarikat dan Kanada sahaja.
Ketiga-tiga filem tersebut juga meraih AS$4.64 bilion di seluruh dunia.
Antara kejayaan lain Disney termasuklah filem adiwira Marvel, Ant Man and The Wasp, Solo: A Star Wars Story dan Mary Poppins Returns- yang sudah mengutip lebih AS$200 juta di seluruh dunia dan masih ditayangkan.
Pada 2019, Disney mempunyai senarai filem besar untuk ditayangkan di layar perak termasuklah Captain Marvel, Avengers: Endgame, Frozen 2 dan Star Wars: Episode IX.
Manakala versi terbaru Dumbo, Aladdin, The Lion King juga bakal ditayangkan bersama-sama Toy Story 4 keluaran Pixar. – AFP, 3 Januari, 2019.
Komen