TUNJUK perasaan dan keganasan tercetus di selatan India hari ini apabila dua wanita mengingkari tradisi untuk menceroboh satu daripada kuil paling suci pengangut Hindu.
Pencerobohan itu berlaku buat pertama kali sejak mahkamah membatalkan larangan sejak puluhan tahun kepada golongan wanita berusia antara 10 dan 50 tahun untuk memasuki kuil Sabarimala.
Sejak beberapa minggu lalu, golongan tradisional Hindu yang disokong Perdana Menteri Narendra Modi, menghalang cubaan wanita untuk memasuki kuil yang terletak di puncak bukit di Kerala.
Namun di sebalik kawalan ketat polis dan penganut lelaki, dua wanita berjaya menyusup masuk dalam kuil itu dan keluar tanpa dikesan.
Malah rakaman video menunjukkan dua wanita terbabit yang berusia 42 tahun, Kanaka Durga dan Bindu, memakai penutup kepala berwarna hitam ketika memasuki kuil tersebut.
Selepas berita pencerobohan itu tersebar, ketua kuil mengarahkan rumah ibadat itu ditutup untuk proses penyucian semula. Ia dibuka kira-kira sejam kemudian.
Keganasan mula tercetus apabila puluhan orang melaungkan slogan menyokong tindakan wanita itu di depan bangunan parlimen negeri di Thiruvananthapuram, ibu negeri Kerala bertembung dengan golongan yang membantah pencerobohan itu.
Mereka turut membakar tayar, menyebabkan polis terpaksa masuk campur dan melepaskan gas pemedih mata dan menembak meriam air untuk meleraikan tunjuk perasaan.
Beberapa anggota polis dilaporkan cedera dalam kejadian itu manakala beberapa wartawan diserang di Kollam.
Lima penunjuk perasaan wanita yang cuba memasuki bangunan parlimen turut ditahan.
Polis yang dilengkapi kayu terpaksa mengusir penunjuk perasaan yang cuba memaksa penutupan kedai dan perniagaan di kuil Sabarimala.
Perkhidmatan bas juga digantung selepas penunjuk perasaan menyekat laluan dan melontar batu ke arah kendaraan yang lalu-lalang.
Kerajaan Modi tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung pencerobohan dua wanita itu, tetapi kumpulan aktivitis menyokong tindakan tersebut. – AFP, 2 Januari, 2019.
Komen