MALAYSIA merupakan antara negara di dunia yang mempunyai nisbah doktor lebih tinggi berbanding pesakit, tetapi nisbah katil hospital berbanding populasi adalah rendah, kata Dr Ko Chung Sen.
Pakar bedah yang juga bekas ahli Parlimen Kampar itu berkata nisbah yang tidak sepadan antara infrastruktur kesihatan dan keperluan pegawai menunjukkan hasil salah tadbir dan kurang pelaburan kemudahan kesihatan awam di bawah pentadbiran kerajaan lama Barisan Nasional (BN).
Katanya kepada The Malaysian Insight, lambakan graduan perubatan yang terpaksa menunggu berbulan-bulan untuk jawatan doktor pelatih, merupakan simptom kerajaan BN mengenepikan soal keutamaan.
“Bekas kerajaan tidak mengambil masa lama untuk membelanjakan berbilion ringgit bagi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang tidak diperlukan negara.
“Tetapi mereka tidak akan mengeluarkan sedikit peruntukan itu untuk membina hospital baharu,” kata Dr Ko yang kini merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kepayang di Perak.
“Saya telah menjangkakan masalah lambakan graduan perubatan beberapa tahun lalu. Anda tidak boleh salahkan kerajaan baharu kerana tidak mengambil mereka semua (bekerja) kerana terdapat kira-kira 3,400 kekosongan setahun untuk doktor pelatih.
“Namun dianggarkan 5,000 graduan dihasilkan pada setiap tahun oleh institusi tempatan dan luar negara. Jadi bagi mengatasi isu lambakan ini, perlu ada pengurangan pengambilan jumlah pelajar perubatan sebanyak 20% di kedua-dua jenis universiti itu,” katanya.
Kerajaan hari ini mengehadkan penyediaan jumlah doktor pelatih ekoran kedudukan kewangan negara, kata Dr Ko.
Ini kerana katanya doktor pelatih perlu dilatih oleh doktor senior, mempraktikan kedoktoran dan diletakkan di hospital yang memiliki kemudahan latihan yang baik.
Namun kebanyakan fasiliti latihan kerajaan turut kekurangan doktor senior.
“Jadi walaupun kerajaan hari ini mempunyai duit, mereka tidak boleh mengambil doktor pelatih begitu saja kerana tiada tempat untuk mereka berlatih dan tiada doktor senior untuk melatih mereka,” katanya.
Kekurangan dana penjagaan kesihatan
The Malaysian Insight baru-baru ini melaporkan tentang graduan perubatan yang terpaksa menunggu berbulan-bulan bagi jawatan doktor pelatih keraena tiada kekosongan untuk mereka dalam hospital kerajaan.
Semasa berkhidmat dalam Parlimen, Dr Ko sering membangkitkan isu penjagaan kesihatan dan pernah memberi amaran tiga tahun lalu tentang kekurangan katil hospital berbanding lambakan doktor.
Dalam kenyataan pada 2015, beliau berkata jumlah doktor naik mendadak daripada 32,980 pada 2010 kepada 51,835 pada 2014.
Angka itu menjadikan nisbah doktor untuk 1,000 orang adalah 1 kepada 581, lebih tinggi daripada saranan Pertubuhan Kesihatan Dunia iaitu 1 doktor untuk 600 orang. – 3 Januari, 2019.
Komen