Taikun tekstil India menyesal bagi anak kawal perniagaan


Vijaypat Singhania (kiri) dan anak lelakinya Gautam. – Gambar AFP, 2 Januari, 2019.

VIJAYPAT Singhania menyangka beliau mampu mengekalkan empayar tekstil yang bernilai berbilion dolar dalam keluarganya apabila menyerahkan pengurusan Kumpulan Raymond kepada anaknya, Gautam tiga tahun lalu.

Sebaliknya hubungan mereka menjadi terputus sejak penyerahan kuasa itu apabila si bapa menuduh si anak menipunya dengan untuk memberikan sebuah pangsapuri mewah dan secara tidak sengaja menendang keluar beliau dari syarikat itu.

Vijaypat kini menyesali keputusan itu, yang didakwanya dibuat kerana mainan emosi, sekali gus menjadi pertikaian terbaharu melibatkan kalangan keluarga korporat di India.

Lelaki berusia 80 tahun itu mengubah perniagaan tekstil kecil-kecilannya kepada syarikat ternama di India dan Kumpulan Raymond kini dikatakan menjadi pengeluar tekstil berkualiti tinggi terbesar di dunia.

Ia merupakan satu lagi kisah kejayaan keluarga usahawan itu di Asia Selatan, selain penglibatan keluarga Singhania dalam industri simen, tenusu dan teknologi.

Menurut laporan Credit Suisse, India berada di senarai ketiga mempunyai syarikat milik keluarga paling banyak di dunia, di belakang China dan Amerika Syarikat.

Dan disebabkan kesukaran berkongsi kuasa secara adil dan kemunculan generasi baharu untuk mengambil alih, kalangan penganalisis berpendapat negara itu memerlukan garis panduan korporat global untuk menguruskan perniagaan tersebut.

Dengan panduan sedemikian, ia mungkin boleh mengelakkan krisis seperti yang berlaku kepada keluarga Ambani.

Mukesh Ambani, yang kini lelaki terkaya di Asia, bertelagah dengan abangnya Anil selama bertahun untuk menguruskan syarikat Reliance selepas bapa mereka Dhirubhai meninggal dunia tanpa meninggalkan sebarang wasiat.

Perebutan lebih teruk berlaku antara taikun arak dan hartanah Ponty Chadha dan abangnya Hardeep apabila mereka saling berbunuhan dalam kejadian berbalas tembakan pada 2012 untuk merebut syarikat itu.

Begitu juga dengan keluarga empayar farmasi apabila bilionair Shivinder dan Malvinder Singh saling menyerang antara satu sama lain.

Kumpulan Raymond kini dikatakan menjadi pengeluar tekstil berkualiti tinggi terbesar di dunia. – Gambar Wikipeda, 2 Januari, 2019.

Masalah yang berlaku keluarga Singhania bermula apabila Vijaypat menyerahkan 37% pegangan sahamnya pada 2015.

Di bawah satu perjanjian pada 2007 untuk menyelesaikan perbalahan keluarga, Vijaypat berkata beliau sepatutnya menerima sebuah pangsapuri di JK House miliki keluarganya di Bukit Malabar dekat Mumbai.

Harga yang dipersetujui adalah jauh lebih rendah daripada pasaran dan Gautam menasihati lembaga Raymond untuk menentang penjualan aset berharga syarikat itu.

Ketika pertelingkahan semakin buruk, lembaga syarikat itu turut menarik balik gelaran pengerusi emeritus (bersara) dengan dakwaan Vijaypat menggunakan bahasa kasar dalam surat yang ditujukan kepada syarikat itu.

Vijaypat kemudiannya mendakwa beliau dihalau secara kasar dari pejabatnya manakala harta miliknya turut dirompak.

Vijaypat, yang tidak bercakap dengan anak lelakinya itu selama dua tahun, kini merancang untuk menguji keputusan mahkamah baru-baru ini yang mengatakan ibu bapa berhak mengambil balik harta daripada anak mereka mengikut undang-undang yang diperkenalkan pada 2007.

Golongan ibu bapa dibenarkan berbuat demikian jika keperluan asas mereka tidak dipenuhi.

Dalam pada itu, Vijaypat mengakui keputusannya menyerahkan Raymond kepada Gautam merupakan kebodohan paling tinggi dan permulaan usaha untuk mengeluarkan beliau dari perniagaan tersebut.

“Saya menasihkatkan ibu bapa agar tidak membuat kesilapan dengan memberikan semua harta anak kepada anak-anak,” katanya.

Namun Gautam berkata tindakannya adalah betul.

“Ia merupakan keputusan yang betul untuk dilakukan. Tanggungjawab saya sebagai anak lelaki adalah berbeza daripada pengerusi Raymond. Seorang ahli lembaga (Vijaypat) menggunakan kedudukannya untuk mengambil aset syarikat,” katanya.

“Saya adalah mangsa. Adakah saya melakukan kesalahan?”

Kumpulan Raymond bagaimanapun tidak terjejas dengan pertikaian dua beranak itu.

Dilaporkan bahawa keuntungan syarikat itu meningkat 50% pada suku kedua 2918 dan baru-baru ini membuka kilang utama di Utopia selain mengeksport tekstil ke lebih 55 negara. – AFP, 2 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen