PEGUAM kepada empat buruh paksa Korea Selatan era penjajahan Tokyo, mahu mendapatkan perintah mahkamah untuk merampas aset syarikat besi Jepun yang gagal memberi pampasan kepada mangsa.
Selepas 21 tahun berjuang, empat plaintif bekas buruh paksa, hanya satu daripadanya masih hidup, memenangi kes tuntutan itu di Mahkamah Agung pada Oktober yang menyaksikan syarikat Nippon Steel & Sumitomo Metal (NSSM) perlu membayar 100 juta won (RM368,388) kepada setiap plaintif.
Mereka telah dijadikan buruh di kilang tersebut antara 1941 dan 1943.
Bagaimanapun Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe menyifatkan keputusan itu sebagai mustahil.
Tokyo berkata semua isu pempasan diselesaikan di bawah perjanjian 1965 untuk memulihkan hubungan diplomatik kedua-dua negara termasuk pemberian pakej pemulihan sebanyak AS$800 juta dan pinjaman wang kepada Korea.
NSSM gagal mematuhi keputusan itu dan peguam mangsa berkata mereka mendapatkan arahan mahkamah untuk merampas aset syarikat besi itu yang mempunyai pegangan sama dengan syarikat keluli Korea, Posco.
NSSM dianggarkan mempunyai pegangan saham sebanyak AS$2.34 juta atau anggaran 11 bilion won.
Dua negara berjiran itu mengamalkan demokrasi dan merupakan sekutu Amerika Syarikat, tetapi hubungan mereka dibayanngi isu sejarah dan wilayah ekoran penjajahan ganas Jepun pada 1910 hingga 1945 di semenanjung Korea.
Menurut Seoul, kira-kira 780,000 rakyat Korea Selatan dipaksa menjadi buruk oleh Jepun sepanjang tempoh 35 tahun penjajahan, tidak termasuk golongan wanita yang dijadikan hamba seks oleh tentera Jepun. – AFP, 2 Januari, 2019.
Komen