Hadi sedia beri keterangan jika RCI Memali ditubuhkan


Looi Sue-Chern

PRESIDEN PAS Abdul Hadi Awang berkata beliau sedia memberi keterangan sekiranya Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI)  insiden Memali 1985 ditubuhkan.

Hadi berkata beliau juga sedia memberi kerjasama sekiranya kerajaan sedia menyiasat semua insiden yang menyaksikan 18 orang terbunuh apabila polis bertempur dengan guru agama Ibrahum Mahmud aatau dikenali sebagai Ibrahim Libya dengan pengikutnya di Kampung Memali, Baling Kedah, 32 tahun lalu. Empat anggota polis merupakan antara yang terbunuh.

Hadi dituduh mempengaruhi tindakan Ibrahim melalui ucapan yang dibuat pada 1981, yang dikenali sebagai “Amanat Hadi” . Dalam ucapan itu, Hadi mengisytiharkan Umno dan Barisan Nasional sebagai kerajaan kafir yang meemrintah seperti penjajah.

Menurutnya, buku “Amanat Hadi” dicetak tiga kali sejak 2002, namun beliau tidak pernah didakwa atas apa-apa kesalahan berhubung ucapannya itu.

Hadi juga mendakwa ramai yang telah mendengar rakaman ucapan itu dan berjumpa dengannya untuk memohon maaf kerana mengaitkannya dengan insiden terbabit.

“Ia adalah sedutan daripada ucapan selama sejam yang saya buat. Bagaimana mereka hanya boleh memetik beberapa ayat daripada ucapan sepanjang satu jam?

“Saya tidak pernah didakwa atas apa-apa kesalahan jenayah atau agama; walaupun terdapat tekanan (untuk berbuat demikian).

“Pada saya, ia lebih kepada agenda politik (terhadap saya). Tapi kini, jika mereka mahu siasat semula insiden Memali, saya tidak ada masalah,” katanya pada sidang media di Terengganu hari ini.

Video pendek sidang media itu disiarkan laman Facebook Terengganu Kini.

Ditanya sama ada PAS akan memohon kerajaan menubuhkan RCI, Hadi berkata beliau dan parti hanya akan memberi maklum balas kenyataan timbalan perdana menteri Zahid Hamidi bahawa Putrajaya sedia untuk tubuhkan RCI bbagi menyiasat insiden Memali.

“Terpulang kepada kerajaan mahu buat atau tidak. Saya akan bekerjasama, Mereka boleh hubungi saya bila-bila masa.

“Banyak yang tersirat dan tersembunyi dalam peristiwa Memali. Ramai yang masih hidup ketika kejadian itu tidak tahu kisahnya, apatah lagi mereka yang lahir selepas tragedi itu.

“Ramai yang menjadi mangsa bukan hanya Ibrahim Mahmud dan pengikutnya. Anggota polis juga (mangsa); kerana penyelesaian tidak mengikut cara yang betul..itu sebabnya perlu ditubuhkan RCI yang bebas,” katanya.

Hadi juga berkata apa yang beliau mahu adalah keadilan, bukan berdasarkan politik kerana banyak nyawa terkorban.

“Apabila membabitkan perkara agama, mereka perlu hantar wakil jabatan agama untuk berbincang dengan mereka yang terlibar, bukan polis. Kami tidak menyalahkan polis.

“Apa yang kami tahu, penduduk kampung tidaka senjata, Hanya polis yang ada senjata..itu sebabnya insiden itu perlu disiasat dengan telus dan teliti,” katanya.

Hadi berkata tiada siapa yang patut buat kesimpulan sendiri berhubung tragedi itu sebelum RCI ditubuhkan.

Isu Memali kembali menjadi tumpuan selepas Hadi mendakwa kekacauan yang berlaku pada forum Nothing to Hide 2.0 berpunca daripada kegagalan Dr Mahathir yang merupakan perdana enteri ketika tragedi itu menjawab persoalan berhubung insiden berkenaan.

Beberapa hari kemudian Zahid berkata kerajaan sedia menubuhkan RCI untuk menyiasat insiden Memali sekiranya ada pihak termasuk keluarga mangsa, yang mahukannya.

Malam tadi, Perdana Menteri Najib Razak berkata, Putrajaya masih belum memutuskan sama ada akan menubuhkan RCI bagi tragedi itu kerana banyak faktor yang perlu diambil kira terlebih dahulu. – 25 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen