SERAMAI 14 orang disahkan maut dalam letupan di bangunan pangsapuri tinggi di tengah Rusia pada malam Tahun Baru, kata pihak berkuasa, ketika penyelamat meneruskan operasi mengeluarkan mayat daripada bawah timbunan runtuhan.
Pejabat gabenor berkata 14 mayat ditemui setakat ini dan 27 masih hilang dalam insiden letupan gas di bandar Magnitogorsk, kira-kira 1,700km di timur Moscow di kawasan pergunungan Ural.
Lima mangsa diselamatkan daripada runtuhan termasuk seorang bayi, dan 86 penduduk tidak cedera dalam insiden itu.
“Kerja menyelamat masih diteruskan,” katanya.
Dengan cuaca dingin, pasukan penyelamat mencari di bawah runtuhan konkrit dan besi dan cuba menstabilkan dinding yang masih ada di blok pangsapuri era Soviet itu, yang dihuni kira-kira 1,100 orang.
Letupan itu memusnahkan 35 pangsapuri dan merosakkan 10 lagi, menyebabkan berpuluh-puluh orang kehilangan tempat tinggal pada Tahun Baru – hari cuti terbesar yang disambut di Rusia. – AFP, 2 Januari, 2018.
Komen