Rakyat Jepun terharu tonton ucapan Tahun Baru terakhir Akihito


Maharaja Akihito bersama Maharani Michiko menyampaikan ucapan Tahun Baharu terakhirnya sebelum turun takhta pada April depan. – Gambar EPA, 2 Januari, 2019.

MAHARAJA Akihito menyampaikan ucapan Tahun Baharu terakhirnya hari ini sebelum turun takhta beberapa bulan lagi dengan memberitahu rakyat bahawa beliau mendoakan keamanan kepada semua.

Istana Diraja berkata lebih 72,000 orang membanjiri kawasan kediaman keluarga diraja itu pada sebelah pagi saja dan ribuan lagi tiba selepas itu untuk melihat Akihito, 85, memberi ucapan Tahun Baharu buat kali terakhir.

Akihito akan menjadi maharaja pertama Jepun turun takhta pada 30 April depan, kali pertama ia berlaku dalam tempoh dua abad, yang menamatkan tempoh tiga dekad baginda bertakhta.

“Saya sejujurnya gembira untuk menyambut Tahun Baharu bersama kamu semua,” katanya kepada ribuan yang hadir dengan ramai mengibarkan bendera Jepun dan melaungkan “Banzai” yang bermaksud moga panjang umur.

“Saya doakan keamanan dan kemakmuran kepada semua penduduk negara ini dan juga dunia,” kata Akihito yang turut diiringi Maharani Michiko di sebelahnya dan ahli keluarga lain.

Akihito menyampaikan ucapan ringkas Tahun Baharu setiap tahun dan dijangka membuat lima lagi kemunculan pada hari ini.

Ada di kalangan yang hadir menjerit “terima kasih” ketika Akihito melambai ke arah mereka manakala sebahagian yang lain menyanyikan lagu kebangsaan. – AFP, 2 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen